Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat teruskan perjuangan 

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 2:47 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tidak berganjak dalam perjuangan mereka walaupun keputusan mahkamah Rabu lepas, tidak memihak kepada presiden mereka, Datuk Peter Anthony.

Pemangku Presiden Priscella Peter berkata keputusan itu tidak melemahkan semangat mereka, malah semakin berkobar-kobar untuk mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

“Jujurnya kami memang kecewa (dengan keputusan mahkamah), kami kecewa kerana bukti baharu iaitu laporan polis yang secara jelas menunjukkan presiden KDM (Peter) dianiaya tidak diambil kira.

“Walaupun kecewa, kami tetap akur dan terima keputusan mahkamah, tapi ini tidak melemahkan semangat kami, perjuangan ini diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun,” katanya ketika dihubungi, Khamis.

Pada Rabu, Peter gagal dalam permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Dengan keputusan itu, sabitan serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen, serta dikekalkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Peter, kekal.

Priscella, yang juga timbalan presiden KDM, berkata parti itu kekal dengan keputusan untuk bergerak solo pada PRN17 nanti dan bersedia untuk menghadapi siapa saja lawan, terutama perikatan kerajaan sekarang iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Parti KDM semakin diterima rakyat Sabah, di mana saja program kita buat dapat sambutan luar biasa.

“Bukan setakat itu, ramai pemimpin yang sudah mula menghubungi dan mendekati kami, mereka mula yakin dengan perjuangan KDM,” katanya, menambah beliau yakin parti itu akan mencipta kejutan sekali gus merubah landskap politik di Sabah.