‘Parti Lipas’ berpotensi gugat sokongan Modi

WorldPolitics
6 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Parti Lipas’ berpotensi gugat sokongan Modi

NEW DELHI: Gerakan Generasi Z yang mengetuai protes besar-besaran di India berpotensi menjadi pencabar baharu kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, sekiranya Parti Janta Lipas (CJP) menyertai politik.

Penganalisis, Amitabh Tiwari, tidak menolak kemungkinan gerakan itu berpotensi mendapat sokongan jika CJP menubuhkan parti dan terus memperjuangkan isu golongan muda serta mengekalkan momentum memberi tekanan kepada kerajaan.

Beliau berkata, pilihan raya negeri tahun depan boleh menjadi ujian awal terhadap sokongan golongan muda India, khususnya di Uttar Pradesh, Punjab dan Gujarat, negeri kelahiran Modi.

“Tidak mungkin isu ini memberi kesan besar kepada BJP dalam pilihan raya negeri, namun ia mungkin menjadi faktor lebih penting menjelang 2029,” katanya yang merujuk pilihan raya umum.

CJP mendapat perhatian negara selepas pengasasnya, Abhijeet Dipke, mengetuai protes berhubung kebocoran kertas peperiksaan yang bermula di New Delhi sebelum merebak ke seluruh negara.

Protes itu turut mengetengahkan kebimbangan golongan muda terhadap kadar pengangguran dan peluang pekerjaan walaupun ekonomi India berkembang pesat.

Tekanan daripada gerakan berkenaan akhirnya menyumbang kepada peletakan jawatan Menteri Pendidikan India ketika itu, sekali gus meningkatkan perhatian terhadap pengaruh CJP dalam kalangan golongan muda.

Namun, Dipke berkata CJP belum mempunyai rancangan untuk menyertai politik pilihan raya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, gerakan itu mahu mendapatkan pandangan golongan Gen-Z mengenai isu yang perlu diberi keutamaan sebelum menentukan langkah seterusnya.

Penyokong CJP mengadakan pertemuan selama dua hari bermula Rabu bagi membincangkan agenda gerakan dan cara meneruskan perjuangan mereka.

Dipke tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti politik jika mendapat sokongan majoriti, termasuk bertanding dalam pilihan raya pada masa depan atas permintaan rakyat.- AGENSI

 

The post ‘Parti Lipas’ berpotensi gugat sokongan Modi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved