
TEL AVIV: Peningkatan kerusi yang diraih parti-parti Palestin dalam pilihan raya umum Israel dijangka mengubah landskap politik negara itu, sekali gus meletakkan blok pembangkang di persimpangan sama ada bekerjasama dengan wakil rakyat Arab Israel atau berdepan kemungkinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu terus berkuasa.
Selepas 51.8 peratus undi dikira, blok Netanyahu memperoleh 55 daripada 120 kerusi di Parlimen sementara gabungan pembangkang pimpinan Eisenkot pula memperoleh 49 kerusi dengan kedua-duanya gagal meraih majoriti di Parlimen.
Perubahan ketara dalam pilihan raya kali ini ialah peningkatan perwakilan parti-parti Palestin di Knesset yang dijangka meraih 17 hingga 18 kerusi, berbanding 10 kerusi sebelum ini berikutan lonjakan jumlah pengundi keluar mengundi untuk menentang Netanyahu.
Ketua parti berhaluan kiri utama Israel, Yair Golan menggesa sekutu pembangkangnya bekerjasama dengan parti-parti Arab untuk menyingkirkan Netanyahu, ketika keputusan sementara pilihan raya menunjukkan sokongan mereka penting bagi membentuk gabungan kerajaan.
“Kita tidak boleh lagi menerima pembahagian bersifat perkauman oleh Netanyahu antara undi Yahudi dengan undi Arab. Kita mempunyai tanggungjawab dan peluang untuk membentuk kerajaan yang membawa perubahan melalui kerjasama dengan rakyat Arab Israel,” katanya menerusi platform X.
Jika keputusan rasmi mengesahkan kedudukan itu, Presiden Israel, Isaac Herzog mempunyai budi bicara untuk menentukan calon yang diberi peluang pertama membentuk kerajaan.
Calon berkenaan perlu menyelesaikan tugas itu dalam tempoh enam minggu sebelum peluang berkenaan boleh diserahkan kepada calon seterusnya jika gagal. Sepanjang proses itu, kerajaan Netanyahu akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara.
Bagi mendapatkan majoriti, Eisenkot dan sekutu dalam blok ‘perubahan’ perlu mempertimbangkan rundingan dengan dua kumpulan Palestin, iaitu Joint List dan Ra’am atau United Arab List.
Bagaimanapun, rundingan dengan Joint List yang dijangka memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi berdepan cabaran apabila Eisenkot menetapkan empat syarat untuk kerjasama, termasuk mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dan demokratik serta mengecam Hamas sebagai pertubuhan pengganas.
Beliau turut mensyaratkan penerimaan nilai dalam pengisytiharan kemerdekaan Israel dan sokongan terhadap kewajipan khidmat ketenteraan bagi rakyat Palestin di Israel yang ketika ini dikecualikan daripada perkhidmatan itu.
Setiausaha Agung Hadash, Amjad Shbita, bagaimanapun menegaskan Eisenkot tidak boleh menetapkan syarat secara sepihak. Hadash ialah parti sosialis yang membentuk puak terbesar dalam Joint List.
“Kami akan berunding sebagai pihak yang setara kerana kami saling memerlukan,” katanya ketika proses pengiraan undi berlangsung pada Selasa.
Sekiranya gagal mencapai persetujuan dengan parti-parti Palestin, Eisenkot mungkin cuba membentuk kerajaan minoriti dengan bergantung pada sokongan tidak rasmi bagi setiap undian di Knesset.
Namun, pendekatan itu berisiko menjejaskan kestabilan kerajaan dan membuka kemungkinan pilihan raya baharu.
Situasi tersebut juga boleh memberi ruang kepada Netanyahu untuk mengukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi Yahudi konservatif. Sepanjang tiga dekad berada di barisan hadapan politik Israel, beliau beberapa kali berjaya kembali mengukuhkan kedudukan selepas berdepan cabaran politik.-AGENSI
The post Parti Palestin boleh jadi penentu bentuk kerajaan Israel appeared first on Utusan Malaysia.



