Parti perlu seimbangkan kepentingan, tanggungjawab

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 10:40 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Parti perlu seimbangkan kepentingan, tanggungjawab

Kuala Lumpur: Kematangan politik dalam kalangan pemimpin, khususnya daripada dua gabungan parti politik nasional utama dalam Kerajaan Perpaduan, perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan kerajaan dan kelangsungan pembangunan negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, landskap politik baharu negara selepas berakhirnya dominasi satu parti menuntut semua pihak mengimbangi kepentingan politik kepartian dengan tanggungjawab lebih besar untuk membina negara.

Katanya, pengalaman sepanjang berada dalam Jemaah Menteri sebagai antara ‘orang baharu’ memperlihatkan bahawa perbezaan pandangan politik tidak semestinya menghalang kerjasama dalam pentadbiran kerajaan.

“Sebagai ‘pemerhati’ yang tidak terkait secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti nasional utama dalam Kerajaan Perpaduan Madani, secara jujurnya saya kagum dan bersyukur dengan kematangan politik rakan-rakan dalam Jemaah Menteri.

“Sekalipun di luar para penggerak parti saling ‘berbalas pantun bertikam lidah’ sejak beberapa bulan lalu, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional.

“Saya bersyukur kerana dapat belajar dan berada dalam suasana politik matang serta bertanggungjawab yang terbina atas kesedaran dan kebersamaan membentuk konsensus perpaduan demi memastikan negara ini memiliki sebuah kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Kebangsaan, di sini, 31 Ogos.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata keadaan itu menunjukkan pentingnya kesedaran bahawa kepentingan politik diri dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab membina negara kerana kestabilan kerajaan amat penting bagi memastikan amanah yang lahir daripada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022 dapat dilaksanakan.

Menurutnya, peristiwa pada 2018 hingga 2022 dengan pertukaran tiga perdana menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran yang mampan untuk Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui sebelum ini sering memilih untuk tidak mencampuri polemik politik di peringkat pusat ketika berinteraksi dengan masyarakat di Sabah.

Namun katanya, sebagai sebahagian daripada Jemaah Menteri, beliau menyedari bahawa Malaysia merupakan ‘rumah besar’ yang perlu dipelihara dan dibina secara bersama.

“Sekalipun datang daripada parti dan rumah kecil, saya juga ada hak dan tanggungjawab kepada tanah air tercinta,” katanya sambil menegaskan semua pihak tanpa mengira rakyat biasa atau pemimpin mempunyai peranan serta tanggungjawab terhadap negara.

Armizan berkata, sambutan Bulan Kebangsaan turut menjadi ruang untuk rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan.

Katanya, semangat patriotisme tidak seharusnya terhad kepada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tekad bersama untuk membina masa depan negara.

“Siapa juga kita, pimpinan, penjawat awam, komuniti peniaga dan penggerak masyarakat sivil serta sekalian rakyat, mempunyai peranan masing-masing dalam sistem kenegaraan.

“Walau apa pun persamaan atau perbezaan kita, tanah air ini milik setiap warganegara dan pemilikan itu datang bersama hak serta tanggungjawab,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved