
KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada UMNO akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau memilih haluan lain akan ditentukan menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PAU merupakan platform tertinggi parti untuk menentukan dasar dan hala tuju termasuk bentuk kerjasama politik yang bakal dipilih UMNO.
Menurutnya, perkara berkaitan hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan merupakan antara isu utama yang dibangkitkan menerusi 157 usul diterima daripada bahagian-bahagian parti.
“Kita terbuka kepada apa sahaja yang akan dibahaskan dan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Kita tunggu kerana antara usul yang dibangkitkan adalah soal hala tuju UMNO dalam konteks Kerajaan Perpaduan dan juga kerajaan akan datang.
“Apa yang dibangkitkan Presiden juga antara perkara yang disuarakan akar umbi dan Presiden sudah tentu sentiasa menyantuni apa juga hasrat akar umbi,” katanya pada sidang akhbar khas menjelang PAU 2026 di Auditorium UMNO di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, parti tidak akan menyekat mana-mana perwakilan daripada membahaskan isu berkaitan masa depan UMNO termasuk sentimen yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
“Tidak wajar sekiranya ibu pejabat mengehadkan apa yang perlu, boleh atau tidak boleh dibahaskan. Biarlah mereka menyuarakannya. Isu-isu terkini yang berbangkit juga boleh menjadi perkara yang menentukan apakah hala tuju terbaik kerana mengikut Perlembagaan UMNO, kuasa tertinggi untuk memutuskan hala tuju, dasar dan polisi UMNO adalah Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
Mengulas kemungkinan UMNO meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, perkara itu juga perlu diserahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan Perpaduan: UMNO kekal atau sebaliknya ditentukan minggu depan appeared first on Kosmo Digital.






