
JAKARTA – Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan 277,075 kes jangkitan saluran pernafasan akut secara kumulatif di 63 kabupaten serta bandar di tujuh wilayah terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah gambar, lapor laman berita IDN Times.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah 62,400 kes atau 22.5 peratus melibatkan kanak-kanak berusia antara 0 hingga 5 tahun.
“Data setakat Isnin lepas ini sentiasa dipantau untuk mengesan peningkatan kes di samping mempertingkatkan kesiapsiagaan kesihatan di kawasan terjejas akibat kebakaran hutan dan lahan,” kata Ketua Biro Komunikasi dan Maklumat Awam, Aji Muhawarman dalam satu kenyataan kelmarin.
Aji berkata, asap kebakaran hutan dan tanah gambut mengandungi zarah halus dinamakan dipanggil PM2.5 iaitu partikel kecil yang boleh memenuhi paru-paru serta menyebabkan pelbagai penyakit.
Pendedahan kepada asap ini boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut, batuk, sesak nafas serta memburukkan lagi keadaan kesihatan bagi penghidap asma.
“Bayi, kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan penghidap penyakit paru-paru kronik merupakan antara kelompok paling berisiko untuk mengalami kesan kesihatan akibat terdedah kepada asap,” katanya.
Kementerian Kesihatan Indonesia menasihati ibu bapa supaya sentiasa peka dengan simptom masalah pernafasan pada kanak-kanak terutama apabila kualiti udara semakin buruk akibat jerebu.
“Sekiranya kanak-kanak mengalami sesak nafas, pernafasan cepat, sukar menyusu atau minum, segera bawa ke fasiliti kesihatan. Penggunaan nebulizer tidak boleh dilakukan secara sembarangan dan perlu mengikut petunjuk serta arahan pegawai perubatan, bukan dilakukan secara sembarangan,” tambah Aji.
Beliau turut meminta masyarakat untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah dan memakai topeng pelitup muka N95 atau KN95 ketika kualiti udara semakin memburuk. – AGENSI
The post Paru-paru 62,400 kanak-kanak, bayi terjejas akibat jerebu appeared first on Kosmo Online.




