
PETALING JAYA – Kerajaan Nepal sedang mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani kes individu yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di negara itu, termasuk warga asing, yang statusnya masih belum dapat ditentukan.
Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, bagaimanapun langkah berkenaan tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat hari ini.
“Kerajaan Nepal telah memaklumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan langkah-langkah perundangan bagi menangani kes melibatkan individu yang terjejas akibat bencana tersebut dan statusnya masih belum dapat ditentukan, termasuk warga asing.
“Langkah-langkah tersebut masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan setakat tarikh kenyataan ini, belum berkuat kuasa,” menurut KLN dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu dimaklumkan susulan pertemuan KLN dengan 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili 55 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi akibat bencana berkenaan.
Sesi yang berlangsung di Wisma Putra hari ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini yang telah disahkan kepada keluarga, selain memberi ruang kepada mereka mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada kementerian dan agensi berkaitan.
Dalam pertemuan itu, waris turut diberi taklimat oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengulas lanjut, KLN berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses dan dokumentasi berkaitan sekiranya langkah tersebut dilaksanakan.
“Kerajaan Malaysia juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal serta menyelaras tindakan dengan agensi Malaysia berhubung proses-proses berkaitan,”katanya.
KLN menegaskan sebarang penentuan mengenai status seseorang individu serta pengeluaran dokumentasi rasmi adalah tertakluk kepada undang-undang dan prosedur yang terpakai serta pihak berkuasa berkaitan di Nepal dan Malaysia.
Pada masa sama, kementerian menggesa orang ramai dan media menghormati privasi keluarga serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai berdasarkan maklumat yang telah disahkan menerusi saluran rasmi. – KOSMO! ONLINE
The post Nepal pertimbang langkah perundangan, status 55 rakyat Malaysia belum diketahui appeared first on Kosmo Online.





