KENYATAAN media Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam hadir pada saat yang cukup penting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketika pelbagai spekulasi mengenai hubungan antara parti-parti komponen mula menjadi perhatian umum, Dr. Sam memilih untuk tidak memanjangkan polemik.
Sebaliknya, beliau mengembalikan fokus kepada perkara yang jauh lebih utama, iaitu memastikan PN memasuki medan pilihan raya sebagai sebuah gabungan yang berdisiplin.
Apa yang paling menonjol daripada kenyataan tersebut ialah jiwa besar yang dipamerkan oleh Dr. Sam sebagai Pengerusi PN.
Beliau mempunyai ruang untuk membalas secara keras dan terbuka kenyataan yang dikeluarkan oleh salah satu pimpinan parti komponen, namun beliau memilih pendekatan yang lebih matang.
Beliau tidak menyerang dengan kasar mana-mana individu, tidak memperbesarkan perbezaan pendapat, dan tidak menjadikan media sebagai medan menyelesaikan pertikaian dalaman.
Sebaliknya, beliau mengajak seluruh kepimpinan dan jentera PN kembali memberi tumpuan kepada matlamat sebenar, iaitu persediaan bagi berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) di Johor.
Sikap ini memperlihatkan seorang pemimpin yang benar-benar mengutamakan kepentingan gabungan mengatasi kepentingan peribadi.
Dalam keadaan sesebuah gabungan berdepan cabaran dalaman, seorang pengerusi yang berjiwa besar tidak akan membiarkan emosi mengatasi pertimbangan organisasi.
Sebaliknya, beliau bertindak menenangkan keadaan, mengembalikan keyakinan ahli serta memastikan fokus gabungan tidak tersasar daripada objektif utama.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, umum menyaksikan Bersatu berdepan pelbagai cabaran dalaman yang menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kestabilan organisasinya.
Walau apa pun latar belakang perkembangan tersebut, ia merupakan isu yang perlu diuruskan oleh kepimpinan parti itu sendiri.
**media[3562746]**
Apa yang penting, Dr. Sam tidak membenarkan cabaran tersebut mengheret keseluruhan PN ke dalam krisis yang lebih besar. Sebaliknya, beliau memilih untuk memperkukuhkan institusi gabungan.
Penegasan bahawa semua keputusan dibuat melalui mekanisme rasmi PN dan perlu dihormati oleh semua parti membuktikan bahawa beliau lebih mementingkan disiplin organisasi berbanding polemik politik.
Mesej ini bukan sahaja ditujukan kepada satu parti, malah menjadi peringatan kepada semua komponen bahawa kekuatan gabungan bergantung kepada sejauh mana setiap pihak menghormati keputusan bersama.
Ketegasan beliau terhadap isu disiplin organisasi juga amat signifikan. Apabila beliau menyatakan rasa kesal terhadap tindakan membawa perkara dalaman gabungan ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir, mesejnya cukup jelas.
Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam mana-mana gabungan politik, namun ia mesti diselesaikan melalui saluran yang betul.
Sebuah gabungan tidak akan diyakini rakyat sekiranya pemimpinnya terus mempertikaikan keputusan bersama di luar mekanisme organisasi.
Namun, mesej paling penting dalam kenyataan tersebut ialah mengenai akauntabiliti politik.
Dr. Sam menegaskan bahawa penggunaan simbol PN bukan sekadar membawa nama gabungan, tetapi datang bersama tanggungjawab yang besar.
Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, kekuatan jentera, strategi kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi.
Prinsip ini sangat penting kerana ia menamatkan budaya saling menyalahkan yang sering muncul selepas pilihan raya.
Jika sesuatu parti menerima amanah untuk bertanding di sesuatu kerusi, maka parti itulah yang perlu memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap keputusan di kerusi tersebut.
Dalam konteks ini, apabila Bersatu diberikan kerusi menggunakan simbol PN untuk bertanding di 16 kerusi dalam PRN Johor, maka segala aspek berkaitan kerusi tersebut menjadi tanggungjawab Bersatu sendiri.
Jika calon yang diketengahkan berjaya memperoleh kemenangan, maka kemenangan itu sewajarnya menjadi kredit kepada Bersatu. Namun sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka, tanggungjawab tersebut juga perlu dipikul oleh parti itu sendiri tanpa meletakkan kesalahan kepada Pas, kepimpinan PN atau mana-mana parti komponen lain.
Sebuah gabungan yang matang bukan sekadar meraikan kejayaan, tetapi juga berani memikul tanggungjawab terhadap kegagalan tanpa mencari kambing hitam.
Dalam masa yang sama, Pas memperlihatkan sikap yang cukup matang dan berjiwa besar. Sebagai parti yang memiliki organisasi akar umbi yang tersusun serta pengalaman panjang mengurus pilihan raya, PAS tidak dilihat mempertikaikan keputusan yang telah dimuktamadkan melalui mekanisme gabungan.
Sebaliknya, Pas memilih untuk menghormati keputusan bersama dan memberikan sepenuh komitmen kepada kemenangan PN secara keseluruhannya.
Hakikatnya, 11 kerusi yang ditandingi Pas dilihat mempunyai asas sokongan dan kekuatan jentera yang lebih stabil hasil pembinaan organisasi yang konsisten sejak sekian lama.
Kekuatan inilah yang memberi keyakinan bahawa Pas mampu mengurus kerusi yang diamanahkan dengan lebih tersusun dan berdisiplin.
Pas tidak menjadikan kekuatan tersebut sebagai alasan untuk mendominasi gabungan atau mempertikaikan pembahagian kerusi. Sebaliknya, Pas menerima keputusan yang dipersetujui dan terus menumpukan usaha memperkukuhkan gerak kerja pilihan raya.
Pendekatan ini sebenarnya selari dengan prinsip yang dibawa oleh Dr. Sam. Apabila setiap parti benar-benar bertanggungjawab terhadap kerusi masing-masing, keseluruhan PN akan menjadi lebih kukuh.
Tiada lagi budaya mencari alasan atau menyalahkan parti lain apabila berdepan kekalahan. Sebaliknya, setiap parti akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan organisasi, memilih calon terbaik serta menggerakkan jentera secara maksimum di kawasan yang telah diamanahkan kepada mereka.
Dari sudut kepimpinan, tindakan Dr. Sam juga menunjukkan keupayaan beliau mengurus krisis dengan tenang tanpa membesarkan konflik. Beliau tidak membenarkan isu dalaman terus menguasai ruang media sehingga menjejaskan moral jentera.
Sebaliknya, beliau segera mengembalikan fokus kepada objektif utama, iaitu memastikan PN memasuki PRN Johor dengan strategi yang jelas.
Inilah ciri seorang pemimpin gabungan yang sebenar. Beliau bukan sekadar mengurus rundingan kerusi, tetapi memastikan seluruh organisasi bergerak.
Dalam keadaan wujud pelbagai pandangan dalam kalangan parti komponen, beliau berjaya mengekalkan disiplin, memperkukuhkan keyakinan ahli dan mengelakkan konflik daripada terus melemahkan gabungan.
Jiwa besar Dr. Sam terserlah apabila beliau memilih untuk menyatukan, bukannya memecahkan. Ketegasan beliau pula memastikan setiap parti memahami bahawa amanah bertanding bukan sekadar membawa simbol PN, tetapi membawa tanggungjawab penuh terhadap prestasi kerusi masing-masing.
Bagi menghadapi PRN Johor, mesej ini amat jelas, iaitu tiada lagi budaya menyalahkan orang lain. Baik Bersatu, baik Pas, semua perlu membuktikan keupayaan di kerusi yang diamanahkan demi memastikan kemenangan PN.
*** Dr. Hussain Yusri Zawawi ialah penganalisis politik Malaysia






