Pas bersungguh-sungguh, akar umbi UMNO bagaimana?

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 7:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas bersungguh-sungguh, akar umbi UMNO bagaimana?

KELMARIN, kira-kira 1,500 perwakilan dan ahli jawatankuasa Pas ‘secara rasmi’ membawa pulang agenda penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) ke kawasan masing-masing.

Ia selepas Muktamar Pas Kali Ke-72 di Kota Bharu, Kelantan sebulat suara meluluskan usul penyatuan ummah yang memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan kepen­tingan Me­layu dan Islam termasuk dengan UMNO.

Selaras dengan keputusan itu, ahli-ahli Pas di semua peringkat perlu mendukungnya atas dasar wala’ dan thiqah, iaitu taat serta percaya kepada keputusan parti. Mereka sedar bahawa agenda pe­nyatuan ummah tidak boleh ha­nya diterjemah melalui kelulusan usul dalam muktamar, sebaliknya mesti dibuktikan dengan kepatuhan terhadap keputusan parti.

Seorang perwakilan yang membahas dan menyokong usul itu mahu usaha memperkasa penyatuan ummah dilakukan bersungguh-sungguh selepas agenda tersebut beberapa kali diusulkan sebelum ini menemukan kegagalan.

“Harap kali ini betul-betul jadi dan kita buat sampai jadi,” katanya.

Walaupun bersungguh-sungguh, agenda yang diluluskan Pas dalam perhimpunan besar secara tahunan itu tidak mampu dilaksanakan jika tidak disambut parti-parti lain, khususnya UMNO.

Justeru, tumpuan kini terarah kepada respons dan reaksi balas daripada perwakilan UMNO yang bakal bersidang sempena Perhimpunan Agung parti itu ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 9 September hingga 12 September ini.

Pemerhati, ahli-ahli politik dan orang ramai pasti menanti apakah agenda penyatuan ummah bakal mendominasi perbahasan perwakilan UMNO dalam perhimpunan berkenaan yang dijangka dihadiri seramai 6,401 delegasi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menerima usul dari 157 bahagian yang mana inisiatif Rumah Bangsa dan halatuju serta kerjasama politik UMNO dalam kerangka Kerajaan Perpaduan antara topik popular untuk dibangkitkan.

Pada masa sama, perwakilan negeri tidak disekat untuk membahaskan apa sahaja topik termasuk agenda penyatuan ummah yang baru diluluskan dalam Muktamar Pas.

Sebagai pembahas yang dipilih Perhubungan UMNO negeri ma­sing-masing untuk mewakili suara hati akar umbi, PAU adalah pentas terbaik menyuarakan pandangan mereka dalam menentukan halatuju parti untuk dinilai Majlis Kerja Tertingginya (MKT).

Apakah seruan Pas untuk bersatu akan disambut oleh akar umbi UMNO? Jika ya, apa pula syarat-syarat yang mereka mahukan? Apa untung dan ruginya? Semua ini perlu dikupas oleh UMNO sebelum boleh beralih ke langkah seterusnya. Selamat bersidang. – UTUSAN

The post Pas bersungguh-sungguh, akar umbi UMNO bagaimana? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved