
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara pada tahun 2014.
Jelas beliau, perkara itu berlaku apabila beberapa pemimpin PAS dijemput bertemu di Kedutaan Amerika Syarikat sewaktu lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia.
Dakwaan itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mempersoal namun Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H. Gamble dalam satu kenyataan di Facebook Kedutaan AS menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ianya adalah palsu.
“Amerika Syarikat tidak pernah berusaha untuk tentukan kepimpinan politik Malaysia. Sebarang laporan yang mendakwa sebaliknya adalah palsu,” kata David.
3 Laporan Polis Dibuat Terhadap Kenyataan Abdul Hadi
Terbaharu, sebanyak tiga laporan polis dibuat semalam (6 September) susulan dakwaan yang dibuat oleh Abdul Hadi ketika berucap dalam Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan pada Sabtu (5 September) lalu.
Laporan yang dibuat di Balai Polis Cheras itu dilakukan oleh:
- V Jonathan, (Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak)
- Mazlina Osman (Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak)
- Amarul Hisham Jalil (Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak).
Laporan Mahu Pastikan Sebarang Dakwaan Cubaan Menggulingkan Kerajaan Dapat Disiasat Ikut Undang-Undang
Jelas Jonathan, laporan tersebut dibuat ekoran kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS itu pada Sabtu (5 September) lalu.
Tambahnya, Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah dijemput di Kedutaan AS sewaktu Barack Obama melawat Malaysia pada 2014 dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan.
“Antara yang dikatakan hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mustafa Ali bersama-sama Duta Amerika Syarikat ketika itu,” katanya.
Jelas Jonathan, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan laporan polis itu dibuat untuk memastikan sebarang dakwaan yang mempunyai kaitan dengan cubaan mengguling atau melemahkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen dengan cara tidak berperlembagaan perlu disiasat mengikut undang-undang.
Polis Sahkan Pihaknya Ada Terima Laporan
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai isu terbabit pada jam 5 petang.
“Saya sedang menyemak jumlah laporan serta balai polis tempat laporan berkenaan dibuat.
“Laporan tersebut bagaimanapun akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju,” jelasnya.
Ramai Mahu Pihak Berkaitan Siasat Kenyataan Abdul Hadi
Sebelum ini, dakwaan Abdul Hadi itu turut mendapat perhatian sehingga ramai mahu pihak berkaitan menyiasat kenyataannya itu.
Antaranya Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu yang berpendapat dakwaan itu tidak seharusnya dijadikan modal politik serta perlu disiasat oleh pihak berkuasa kerana melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.
“Jika benar wujud cubaan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, ia bukan bahan untuk dibanggakan di pentas politik.
“Ia adalah perkara yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Manakala, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pula berpendapat Kerajaan AS patut menyaman Abdul Hadi selepas kedutaan itu menafikan penglibatannya.
Jelas Rayer, penafian diplomatik sahaja tidak mencukupi dan Washington perlu mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk mempertahankan reputasi serta integriti wakil diplomatiknya.
“Ini perkara yang sangat serius. Setakat penafian diplomatik oleh AS tidak cukup. Jika Hadi bercakap benar, maka pihak AS berdepan persoalan yang sangat serius untuk dijawab berhubung dakwaan campur tangan dalam urusan politik dalaman Malaysia,” katanya.
Malah, Rayer turut menyifatkan dakwaan Abdul Hadi bukanlah dakwaan bersahaja di kedai kopi namun ia dakwaan luar biasa yang serius melibatkan keselamatan negara.
Selain Rayer, AMK turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut.
Jelas Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, kenyataan yang dibuat oleh Abdul Hadi itu disifatkan amat serius kerana menyentuh cubaan pakatan melibatkan kuasa asing untuk meruntuhkan kerajaan.
“Kenyataan itu ialah kenyataan yang serius. Seolah-olah ada percubaan pakatan di antara kuasa luar dan juga entiti tempatan untuk meruntuhkan sistem demokrasi berparlimen. Ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, apabila penafian telah dibuat oleh Kedutaan AS maka kita mahu pihak berkuasa mulakan siasatan dan lihat semula apakah dakwaan yang dibangkitkan itu benar atau sebaliknya. Kalau benar, harus ada tindakan tegas serta-merta,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Selangor Amat Dukacita Dengan Kenyataan Abdul Hadi
Baca Artikel Berkaitan: ‘Abdul Hadi Awang Tak Ada Hak Atau Kuasa Veto Untuk Tentukan Kedudukan BERSATU Dalam PN’ – Azmin Ali






