KOTA BHARU - Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-72 mendesak kerajaan agar mengambil tindakan segera dan tegas terhadap kewujudan kartel serta amalan monopoli yang membelenggu industri padi dan beras negara.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, isu itu tidak boleh dilengahkan memandangkan wujud dakwaan golongan 'orang tengah' atau kartel kini mengawal hampir 95 peratus penghasilan padi tempatan.
Menurutnya, kuasa kartel berkenaan bertapak kukuh ekoran kebergantungan pesawah yang terikat dengan dana pinjaman permulaan musim, sekali gus menjadikan golongan itu seperti 'tawanan' dalam sistem yang membelenggu mereka.
"Selagi kartel dibiarkan beroperasi, selagi itulah pesawah terus diperah, bekalan beras tempatan dimanipulasi dan rakyat menanggung harga yang tidak sepatutnya. Tindakan perlu dilaksanakan tanpa pilih kasih serta tanpa kompromi politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Azman berkata, Perdana Menteri sebelum ini pernah menyeru agar amalan kartel dihapuskan, namun tindakan nyata masih belum dirasai oleh pesawah di lapangan manakala amalan monopoli terus berlaku.
Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan empat ketetapan utama yang digariskan menerusi usul berkenaan bagi membela nasib lebih 200,000 pesawah di seluruh negara.
Antaranya, kerajaan digesa menyemak dan menaikkan harga lantai padi serta-merta kepada sekurang-kurangnya RM2,000 setan metrik berbanding RM1,500 masa kini yang disifatkan hanya menyamai kos pengeluaran sehektar tanpa memberi margin keuntungan.
Selain itu, beliau berkata, bekalan baja bersubsidi, benih berkualiti dan racun perosak perlu dipastikan sampai kepada pesawah tepat pada waktunya tanpa sebarang gangguan birokrasi.
Katanya, tindakan undang-undang secara lebih tegas juga perlu diambil terhadap rangkaian kartel dan orang tengah bagi membebaskan rantaian bekalan makanan ruji negara.
"Kerajaan perlu menetapkan pelan tindakan terukur bagi meningkatkan kadar sara diri beras negara daripada 52.9 peratus pada 2024 kepada sekurang-kurangnya 75 peratus dalam tempoh lima tahun," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menggariskan realiti bebanan yang ditanggung pesawah antaranya kenaikan kos membajak mencecah RM190 seekar, kos jentuai RM17 seguni, pengangkutan RM35 setan kasar, serta isu pemutuan timbangan di kilang yang dilaporkan mencapai melebihi 40 peratus.
"Kadar sara diri beras negara pada tahun 2024 adalah 52.9 peratus manakala pengeluaran padi mencatatkan penurunan kepada 2.06 juta tan metrik berbanding 2.17 juta tan metrik pada 2023. Jika kepedihan ini berterusan, pesawah berisiko meninggalkan sektor ini dan mengancam keselamatan makanan nasional.
"Kedaulatan makanan adalah sebahagian daripada kedaulatan negara yang tidak boleh digadaikan demi kepentingan segelintir pihak yang rakus," ujarnya.





