Muktamar: Judi ‘virus masyarakat’, DHPP mahu kerajaan bertegas

LocalPolitics
5 Sep 2026 • 11:46 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Muktamar: Judi ‘virus masyarakat’, DHPP mahu kerajaan bertegas

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mahu kerajaan mengambil tindakan lebih tegas untuk mengawal kegiatan perjudian yang semakin mudah diakses.

Ketuanya, B. Kumaresan berkata, gejala itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah menjadi ‘virus’ kepada institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, kegiatan perjudian kini tidak lagi terhad kepada premis atau kaunter nombor ekor, sebaliknya turut berlaku menerusi mesin permainan dan perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit.

Ujarnya, kemudahan akses kepada perjudian menyebabkan kegiatan berkenaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan berpotensi membawa pelbagai masalah sosial.

“Judi bukan hak bukan Islam. Judi adalah virus kepada masyarakat. DHPP mohon kerajaan mengawal, mendidik dan melindungi masyarakat daripada masalah perjudian ini,” katanya semasa penggulungan Ucapan Dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Kumaresan berkata, kesan perjudian bukan sekadar membabitkan kehilangan wang tetapi menyumbang kepada masalah keluarga, beban hutang dan menjejaskan kesejahteraan sosial.

Terdahulu, Pas mahu kerajaan negeri diberikan ruang lebih jelas dan sah untuk menentukan dasar lebih ketat terhadap operasi premis perjudian termasuk melalui pindaan undang-undang Persekutuan.

Perkara itu antara tuntutan utama dalam usul yang dibawa oleh Pas Kawasan Baling yang diterima tanpa bahas pada muktamar kali ini.

Sementara itu, Kumaresan berkata, DHPP mahu memainkan peranan lebih strategik sebagai jambatan antara Pas dengan masyarakat bukan Islam di seluruh negara.

Katanya, perjuangan Pas bukan hanya untuk umat Islam sebaliknya seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berteraskan keadilan, kesejahteraan dan konsep rahmat untuk semua.

“DHPP akan menjadi sebuah sayap yang penting dan strategik dalam usaha membawa suara golongan bukan Islam untuk memahami, menghayati dan menyokong perjuangan Pas,” katanya. – UTUSAN

 

The post Muktamar: Judi ‘virus masyarakat’, DHPP mahu kerajaan bertegas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved