KOTA BHARU – Pas menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan mafia korporat yang disifatkan sebagai satu keperluan mendesak.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu tersebut bukan sahaja menjadi perhatian masyarakat umum, malah turut dibangkitkan oleh pemain industri korporat sendiri.
“Ini merupakan satu keperluan yang mendesak kerana bukan sahaja dirasai oleh rakyat biasa.
“Malah, pemain industri dalam dunia korporat sendiri turut melahirkan rasa tidak puas hati,” katanya pada sidang media selepas penutupan Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan ialah dakwaan berhubung pengambilalihan syarikat yang berlaku dalam keadaan tidak normal.
“Tiba-tiba sesebuah syarikat diambil alih oleh pihak lain dalam keadaan yang tidak biasa,” katanya.
Pada masa sama, Takiyuddin turut mempersoalkan kelewatan kerajaan mendedahkan laporan RCI Tabung Haji yang menurutnya telah disiapkan pada 2022 tetapi hanya dibentangkan pada tahun ini.
“Waktu pendedahan laporan tersebut turut menimbulkan persoalan kerana ia dibuat ketika negara semakin menghampiri musim pilihan raya,” katanya.






