PAS keluarkan ‘Tong Drum’ untuk gegarkan PRU16

LocalPolitics
22 Sep 2025 • 10:19 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad memberi bayangan Perikatan Nasional (PN) sedang memasuki fasa baharu persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, pada PRU15 hanya dengan kekuatan ibarat Tin Milo, PN berjaya menawan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Namun kali ini, strategi ditingkatkan dengan “Tong Drum” yang diyakini mampu menggegarkan lebih banyak kerusi.

“Jentera sudah digerakkan, bendera lama dibasuh, bilik gerakan dibuka, ceramah rancak bermula. InsyaAllah, tong drum akan menggegarkan lebih banyak kerusi,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Baca juga:

Sindiran UMNO-DAP

Dalam masa sama, Idris menyindir kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, yang menurutnya kini sekadar menumpang kasih kepada DAP.

“Dulu gagah perkasa dengan slogan ‘No DAP, No Anwar’, akhirnya jadi ‘Yes DAP, Yes Anwar’. Janji sumpah keramat itu kini hanya bahan ketawa rakyat,” katanya.

Beliau mendakwa UMNO tidak lagi berupaya menawan gelanggang majoriti Melayu, manakala DAP pula kekal dominan dalam menentukan hala tuju kerajaan. “Yang untung DAP, ruginya UMNO,” tambahnya.

PN tetap yakin melawan

Idris menegaskan PN tidak gentar sama ada PRU diadakan serentak atau berasingan kerana bagi mereka, “lawan tetap lawan”. Beliau turut menegaskan sokongan media sosial lebih memihak kepada PN secara organik, sekali gus menolak dakwaan bahawa gerakan maya mereka bergantung kepada strategi upahan.