Pas lebih berminat isu dasar negara luar berbanding isu Tabung Haji - Fahmi

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pas lebih berminat isu dasar negara luar berbanding isu Tabung Haji - Fahmi
Fahmi Fadzil. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pendirian Malaysia berhubung isu China dan Taiwan kekal konsisten serta tidak pernah berubah sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau membidas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menuduh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual media antarabangsa baru-baru ini meletakkan negara pada kedudukan diplomatik yang sukar serta menyempitkan ruang diplomasi.

Fahmi berkata, pendirian dinyatakan Perdana Menteri adalah selari dan konsisten dengan dasar luar negara yang dipegang Wisma Putra sejak sekian lama.

"Tak benar (tuduhan Takiyuddin). Saya lihat ada dua perkara... pertama, pendirian Malaysia mengenai isu tersebut adalah sejak dari zaman almarhum Tun Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya ketika ditemui pada Program Kenduri Rakyat Madani di sini, Sabtu.

Menzahirkan kekesalan terhadap sikap parti pembangkang itu, Fahmi mempersoalkan tindakan Pas yang bersuara lantang dalam isu luar negara, namun memilih untuk membisu berhubung isu tempatan membabitkan kepentingan umat Islam seperti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Beliau berkata, laporan RCI berkenaan telah membongkar kerosakan dan ketidakcekapan pengurusan akaun serta pelaburan institusi berkenaan antara 2014 hingga 2017, termasuk kerugian melibatkan jutaan ringgit.

"Yang saya kesal... kenapa pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan dari Pas, dalam bab yang jauh dari kita banyak komentar, tapi yang sangat dekat dengan kita termasuk Tabung Haji kita tidak mendengar sepatah pun sebenarnya pendirian mereka mengenai isu kerosakan yang telah berlaku seperti terkandung dalam laporan RCI Tabung Haji.

"Saya harap mereka dapat lebihkan masa menelaah dan membahaskan perkara itu kerana mereka telah lari dari Dewan Rakyat waktu rakyat mengharapkan pihak pembangkang membahas,” katanya.

Menurut Fahmi, usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah bertujuan memulihkan semula institusi penting umat Islam berkenaan ke kedudukan sepatutnya. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved