JEMPOL - Pas Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun segera mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan (DUN) bagi membahaskan situasi semasa politik serta isu perundangan di negeri ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, sidang tersebut penting bagi memastikan ketelusan, keadilan dan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
"DUN wajar dibuka segera bagi memberi ruang kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berbahas secara telus, matang dan demokratik berhubung perkembangan politik serta isu perundangan semasa yang semakin membimbangkan rakyat.
"Sidang Dewan yang terbuka amat penting sebagai platform rasmi bagi meneliti kedudukan sebenar pentadbiran negeri, mempertahankan keluhuran Perlembagaan serta memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan undang-undang dan kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pihaknya juga menekankan bahawa sebarang usaha menangguhkan perbahasan hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran.
Justeru ujarnya, Menteri Besar perlu bertindak segera dengan penuh tanggungjawab demi memelihara kestabilan politik negeri dan menjunjung prinsip demokrasi berparlimen.





