SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak kepimpinan tertinggi UMNO supaya menyatakan pendirian tegas berhubung tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan melalui gerakan ‘tebuk atap’.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai satu bentuk pengkhianatan yang tidak munasabah, khususnya dalam konteks kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, cadangan untuk mengadakan perbincangan antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan selepas tindakan tersebut diambil adalah tidak wajar.
“Cadangan untuk mengadakan perbincangan setelah menikam rakan gabungan dari belakang adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal.
“Tindakan 14 ADUN UMNO memulakan hubungan dengan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu tidak boleh ditafsirkan selain daripada tindakan khianat dan berniat jahat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Amanah menggesa UMNO mengambil tindakan disiplin tegas terhadap wakil rakyat yang terlibat bagi memastikan kemelut politik seumpama itu tidak berulang.
Antara tuntutan yang dikemukakan ialah mengutuk tindakan penarikan sokongan oleh 14 ADUN berkenaan, mengarahkan penarikan balik kenyataan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar serta memberi amaran keras kepada semua pihak supaya menghormati prinsip Kerajaan Perpaduan.
“Terma hilang sokongan kepada Menteri Besar adalah sama nilainya dengan hilang sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian Amanah adalah bagi menjaga imej institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, selain menekankan penyelesaian secara terhormat melalui rundingan berbanding budaya ‘jatuh-menjatuhkan’.
Beliau turut mengingatkan UMNO supaya mematuhi titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
Pada masa sama, Amanah mengajak semua pihak kembali memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan Kerajaan Perpaduan serta menangani cabaran ekonomi semasa.
“Semua pihak perlu menumpukan kepada penyelesaian masalah rakyat dan menjauhkan diri daripada politik murahan yang bersifat oportunis serta mementingkan diri sendiri,” tambahnya.






