Demi kestabilan pembangkang, Pas patut pimpin PN - Marzuki

LocalPolitics
12 Jan 2026 • 12:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Marzuki Mohamad

SHAH ALAM – Pas perlu memimpin Perikatan Nasional (PN) susulan pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi pada 1 Januari lalu.

Bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berpandangan bahawa semua pihak perlu mengetepikan persepsi terhadap penerimaan bukan Islam terhadap parti itu demi kestabilan gabungan pembangkang buat masa ini.

“Parti yang lebih kuat mesti memimpin. Apabila Pas memimpin, inilah kali pertama dalam sejarah politik negara kita, parti Islam mengetuai sebuah gabungan nasional.

“Ini satu eksperimen baharu. Sudah tentulah ada pihak yang bimbang, ada pihak yang gusar, ada pihak yang mengkritik.

“Itu demokrasi. Terima sahaja kritikan. Jangan label pengkritik dengan bermacam-macam label,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa gabungan itu mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik pengerusi baharu.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan bahawa panggilan mesyuarat tergempar itu adalah selaras dengan Fasal 8.3(l)(b) Perlembagaan PN.

Dalam pada itu, Marzuki mempersoalkan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa bahawa peletakan jawatan Pengerusi PN mesti diputuskan oleh MT PN.

“Seolah-olah Pengerusi tiada hak untuk berhenti. Ini tidak betul. Saya tanya Setiausaha Eksekutif PN, siapa yang draf Perlembagaan PN.

“Dia kata, dia yang draf dan telah ditunjukkan kepada saya sebelum dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan. Saya tidak ingat. Kalau pernah ditunjukkan kepada saya, maka salah saya lah.

“Tetapi meletakkan jawatan juga adalah hak Tan Sri Muhyiddin. Hormatilah hak beliau,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved