
PETALING JAYA – Insiden seorang lelaki warga Nigeria mengamuk sehingga mencederakan anggota polis di Gombak, Rabu lalu mencetuskan persoalan mengenai status warga asing termasuk mereka yang menggunakan pas pelajar.
Ini selepas pihak imigresen mendedahkan suspek berusia 32 tahun memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018 sebelum pasportnya tamat tempoh pada tahun 2020. Sejak itu, suspek tinggal secara haram di Malaysia.
Namun persoalannya adakah warga asing benar-benar mengikuti pengajian di institusi pendidikan di negara ini atau sekadar helah untuk berada di Malaysia.
Pakar tidak menolak kemungkinan penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing untuk masuk dan menetap di Malaysia bukan sahaja melibatkan individu, malah kemungkinan didalangi sindiket membabitkan ejen atau orang tengah dan fasilitator tempatan.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, isu penyalahgunaan pas pelajar bukan perkara baharu dan memerlukan perhatian serius pihak berkuasa.
“Persoalannya, adakah mereka benar-benar datang untuk belajar atau menggunakan status pelajar sebagai helah untuk berada di negara ini? Mereka yang berniat menyalahgunakan sistem ini akan sentiasa mencari ruang dan kelemahan untuk memintas undang-undang.
“Sebab itu, kita tidak boleh hanya bergantung kepada dokumen pendaftaran, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar mengikuti pengajian di negara ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Jelasnya, antara taktik yang mungkin digunakan adalah melalui ejen yang menawarkan kemasukan ke institusi pendidikan dengan bayaran tertentu, termasuk menguruskan pendaftaran bagi mendapatkan pas berkenaan.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan warga asing itu hanya berdaftar di atas kertas tanpa berniat untuk melanjutkan pengajian. Haezreena tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang tempatan sebagai fasilitator dalam membantu menguruskan kemasukan warga asing.
“Jadi, ini bukan semata-mata kegiatan warga asing, tetapi mungkin melibatkan satu rangkaian yang mendapat keuntungan daripadanya,” ujarnya.
Katanya, aspek paling penting yang perlu diberi perhatian adalah pemantauan selepas dokumen itu diluluskan termasuk memastikan pelajar hadir ke kelas dan mengikuti pengajian yang ditetapkan.
Menurut beliau, bilangan institusi pendidikan yang banyak dengan tahap kawal selia berbeza turutboleh membuka ruang kepada penyalahgunaan dokumen itu sekiranya tidak dipantau secara berkesan.
Oleh itu, Haezreena mencadangkan pemantauan lebih ketat dilakukan menerusi perkongsian data antara Jabatan Imigresen, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pendidikan.
Pada masa sama, katanya, institusi pendidikan yang gagal mematuhi syarat atau bersubahat dengan sindiket perlu dikenakan tindakan.
Beliau menegaskan, tindakan tidak seharusnya tertumpu terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas, sebaliknya diperluas kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian kegiatan tersebut.
“Bagi saya, jangan hanya tangkap warga asing yang salah guna pas. Kita perlu bongkar keseluruhan rantaian termasuk ejen, fasilitator tempatan dan institusi yang bersubahat.
“Selagi pihak yang menyediakan laluan dan mengaut keuntungan tidak disentuh, masalah ini akan terus berulang,” katanya.
Sementara itu, pempengaruh dan penulis dalam bidang analisis geopolitik, Ahmad Faezal Mohd. Shariff pula mencadangkan agar pihak universiti di wajibkan melaporkan rekod kehadiran dan integriti pelajar asing.

Katanya, pihak berkuasa perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan praktikal dalam menangani isu penyalahgunaan pas pelajar.
“Dapatkan maklumat kenalan pelajar dan tempat tinggal mereka bagi memudahkan urusan pengesanan. Tidak perlu menyusahkan kehidupan mereka seperti banduan. (Langkah) ini untuk memudahkan proses pengesanan sahaja,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pelajar asing diwajibkan menggunakan akaun bank sendiri bagi tujuan penjejakan.
Katanya, langkah itu merupakan antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan dalam memperkukuh pemantauan terhadap pelajar asing di negara ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang lelaki asing mengamuk sebelum menetak pergelangan tangan kanan Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, hingga putus dengan parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri.
Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, suspek meluru keluar dari rumahnya dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota keselamatan. Suspek bagaimanapun meninggal dunia akibat kecederaan terkena tembakan.
The post Pas pelajar asing jadi bisnes sindiket? appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Warga asing menyorok bawah katil elak kantoi imigresen](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WARGA-ASING-KANTOI-1024x639.jpeg)




