Pas persoal komitmen Malaysia terhadap isu Myanmar

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 9:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas persoal komitmen Malaysia terhadap isu Myanmar

PETALING JAYA: Pas mempersoalkan keputusan kerajaan menerima kunjungan rasmi pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu ketika negara itu masih berdepan konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kunjungan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai komitmen Malaysia terhadap keadilan antarabangsa serta Konsensus Lima Perkara ASEAN bagi menangani krisis Myanmar.

Katanya, sambutan rasmi terhadap pemimpin berkenaan berisiko menormalisasikan kepimpinan junta yang dikaitkan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia.

“Pas menegaskan bahawa keadilan antarabangsa tidak boleh diamalkan secara terpilih. Prinsip keadilan tidak boleh berubah mengikut identiti pemimpin atau kepentingan diplomatik. 

“Malaysia mesti konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa, sama ada melibatkan Palestin, Myanmar atau mana-mana negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas memahami keresahan rakyat berhubung keberadaan warga asing tanpa dokumen, kelemahan pengurusan pelarian serta ancaman terhadap keselamatan dan kepentingan rakyat tempatan.

Bagaimanapun katanya, kepentingan diplomasi bagi menyelesaikan isu warga Myanmar dan pelarian di Malaysia tidak seharusnya mengatasi prinsip keadilan antarabangsa atau mengabaikan keselamatan manusia.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, proses penghantaran pulang pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar perlu mematuhi undang-undang antarabangsa serta mengambil kira risiko keselamatan dan hak kemanusiaan.

“Kerajaan perlu menjelaskan mekanisme saringan, penilaian risiko dan jaminan keselamatan selepas ketibaan bagi warga Myanmar yang dihantar pulang.

“Adakah setiap individu telah dinilai secara sewajarnya, termasuk mereka yang mungkin memerlukan perlindungan antarabangsa?” katanya.

Menurut beliau, tindakan terhadap PATI perlu dibezakan daripada pengurusan pelarian dan pemohon suaka yang mungkin berdepan penganiayaan sekiranya dihantar pulang tanpa proses yang jelas dan teratur.

Katanya, Pas tidak mempertahankan kemasukan warga asing tanpa izin atau kelemahan penguatkuasaan, sebaliknya menggesa kerajaan mengawal sempadan, membanteras sindiket penyeludupan manusia dan melaksanakan undang-undang imigresen.

Ahmad Fadhli turut membangkitkan permohonan waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing oleh Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November 2024 berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Beliau membandingkan perkara itu dengan waran tangkap yang dikeluarkan ICC terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant pada 21 November 2024 atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan Gaza.

“Oleh itu, Pas mendesak kerajaan menjelaskan tujuan serta hasil kunjungan Min Aung Hlaing termasuk pendirian Malaysia terhadap dakwaan jenayah antarabangsa yang dikaitkan dengannya.

“Pas turut menggesa kerajaan mendedahkan mekanisme saringan dan jaminan keselamatan bagi warga Myanmar yang dihantar pulang serta memperkemas pengurusan pelarian dan PATI menerusi dasar yang jelas, penguatkuasaan tegas dan kerjasama serantau berteraskan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

“Kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat sama ada kunjungan ini benar-benar membawa penyelesaian kepada krisis Myanmar atau sekadar memberikan ruang diplomatik kepada pemimpin junta tanpa jaminan kemajuan yang nyata,” katanya. –UTUSAN

 

The post Pas persoal komitmen Malaysia terhadap isu Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved