'Pas pilih kawan dan lawan bukan kerana Melayu atau Islam, tetapi kerusi' - Marzuki

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 6:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Pas pilih kawan dan lawan bukan kerana Melayu atau Islam, tetapi kerusi' - Marzuki
Marzuki (gambar kecil) mendakwa Pas memilih rakan dan lawan politik bukan kerana ketuanan Melayu atau ketuanan Islam, sebaliknya kerana kerusi.

SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa Pas memilih rakan dan lawan politik bukan kerana ketuanan Melayu atau ketuanan Islam, sebaliknya kerana kerusi.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999, Pas memilih untuk bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dan DAP.

Menurutnya, kerjasama itu menguntungkan Pas apabila memenangi 27 kerusi Parlimen, iaitu jumlah terbanyak dalam sejarah parti itu pada ketika berkenaan.

"PRU15 pula Pas pilih berkawan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Untung Pas menang 43 kerusi Parlimen, terbanyak dalam sejarah setakat ini.

"Pertama kali dalam sejarah juga kerusi Pas lebih banyak daripada kerusi UMNO. UMNO cuma menang 26 kerusi," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.

Marzuki berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan ketuanan Melayu yang didukung UMNO dan ketuanan Islam yang diperjuangkan Pas saling melengkapi.

Menurut Abdul Hadi, kedua-dua gagasan itu bukan cabaran ideologi dalam kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya boleh digabungkan secara harmoni kerana identiti Melayu dan Islam saling melengkapi.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, bagi menghadapi PRU16, Pas memilih untuk berkawan dengan UMNO.

"Mungkin Pas dah congak berapa kerusi dia boleh menang.

"Harap UMNO tak buat u-turn," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved