Pas Selangor tuntut jawatan Pengerusi PN negeri

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pas Selangor tuntut jawatan Pengerusi PN negeri
Mohamed Sukri semasa menyampaikan usul dan perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, pada Jumaat.

KOTA BHARU - Pas Selangor mendesak Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berkenaan dilantik daripada kalangan kepimpinan parti itu dengan segera bagi memperkemas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Perwakilan Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pelantikan itu tidak boleh lagi dilengah-lengahkan memandangkan PN perlu segera mengatur gerak kerja bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

"Kalau Pengerusi PN pun dok beradinda-adinda dengan Menteri Besar, ini bukan masanya. Pengerusi PN mesti dilantik daripada Pas untuk mengemudi kemenangan di Negeri Selangor.

"Saya yakin kita mempunyai ramai calon Pengerusi PN Selangor yang berkelayakan. Datuk Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Yunus Hairi antara calon yang berkelayakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan usul dan perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, Pas Selangor menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen di negeri itu menerusi agenda penyatuan ummah yang diperkukuhkan.

Ujarnya, Pas Selangor juga sudah mempunyai barisan kepimpinan daripada latar belakang profesional dan agamawan yang disifatkan bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Mohamed Sukri memberitahu, persiapan Pas tidak seharusnya terhad kepada sasaran kemenangan di Selangor, sebaliknya parti itu perlu bersedia untuk mentadbir Malaysia termasuk melalui pembentukan Kabinet Bayangan.

Ujar beliau, pendekatan pentadbiran Pas di Selangor akan berteraskan Islam, integriti, profesionalisme, teknologi serta keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan budaya.

"Selangor sebagai sebuah negeri yang kaya, tetapi kekayaan itu mestilah dirasai oleh rakyat secara keseluruhan. Isu kemiskinan bandar, banjir, sampah dan kedudukan orang Melayu di bandar yang semakin terkikis perlu diberikan penyelesaian.

"Sekiranya diberikan kepercayaan dan mandat, kita akan mentadbir lebih baik daripada Pakatan Harapan 1,000 kali ganda," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved