TANAH MERAH - Pas dan Gerakan Reset pada Sabtu mencapai persetujuan untuk mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pembangkang di bawah struktur sedia ada, selain mengekalkan kestabilan kerjasama antara parti-parti dalam blok berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Hamzah umum tubuhkan Parti Wawasan Negara
**media[3550103]**
Pada masa sama, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut dikekalkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Abdul Hadi membuat pengumuman itu di Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni di sini.
Hampir 20,000 penuhi Konvensyen Reset
TANAH MERAH – Hampir 20,000 penyokong dari seluruh negara membanjiri Kota Harmoni di sini bagi menghadiri Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan buat pertama kali pada Sabtu.
Kehadiran luar biasa itu menyaksikan kawasan tapak ekspo berkenaan mula dipenuhi peserta seawal jam 9 pagi dengan mengenakan pakaian serba putih sebagai simbol perpaduan dan kesepakatan.
**media[3550085]**
Ahli Parlimen Tanah Merah juga tuan rumah konvensyen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, konvensyen sulung itu bakal menjadi catatan sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan penyokong daripada pelbagai latar belakang dalam satu program.
Menurut beliau, kehadiran besar tersebut membuktikan rakyat masih mahu melihat usaha penyatuan yang mampu membawa kestabilan dan masa depan lebih baik kepada negara.
**media[3550088]**
“Konvensyen hari ini akan menjadi satu catatan sejarah. Kehadiran peserta dari seluruh negara menunjukkan rakyat menyambut baik usaha penyatuan yang sedang digerakkan.
“Kami hadir bukan untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga untuk menyerang mana-mana pihak. Sebaliknya, kami berkumpul di sini bagi mengorak langkah ke arah penyatuan umat serta memperkukuhkan kesatuan orang Melayu dan Islam,” katanya ketika berucap pada konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, usaha penyatuan tersebut tidak bermaksud mengenepikan kaum lain, sebaliknya bertujuan memastikan Malaysia terus kekal harmoni melalui semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Kami mahu memastikan negara ini terus aman dan harmoni. Pada masa sama, hubungan antara kaum perlu terus diperkukuhkan berasaskan rasa hormat dan persefahaman,” katanya.
**media[3550087]**
Ikmal turut menyifatkan kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dijadual merasmikan konvensyen berkenaan pada jam 4 petang itu sebagai satu penghormatan besar kepada semua penyokong.
Menurutnya, Abdul Hadi merupakan tokoh yang dihormati bukan sahaja sebagai seorang ulama, malah sebagai pemimpin politik yang berjaya membawa Pas mencapai pelbagai kejayaan sehingga menjadi antara parti paling berpengaruh di negara ini.
Program berkenaan turut menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan termasuk golongan profesional, belia, usahawan, aktivis masyarakat, komuniti Orang Asli serta peserta daripada pelbagai negeri.
**media[3550086]**
Turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), antaranya Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Wan Saiful Wan Jan selain pimpinan Pas serta tokoh politik dari seluruh negara.
Hadir sama, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga Menteri Besar Terengganu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Gerakan Reset Malaysia yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat semakin mendapat perhatian apabila berjaya menghimpunkan ramai penyokong dalam konvensyen sulungnya di Tanah Merah.
Kehadiran besar itu dilihat memberi gambaran awal bahawa gerakan berkenaan mempunyai daya tarikan tersendiri serta berpotensi memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap politik negara pada masa hadapan.





