Pas umum keputusan penting pada Rabu

LocalPolitics
12 Jun 2026 • 11:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pas umum keputusan penting pada Rabu
Abdul Hadi dipimpin selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.

MARANG – Pas dijangka mengumumkan beberapa keputusan penting membabitkan hala tuju parti dan status gabungan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam mesyuarat parti itu di peringkat Pusat pada Rabu.

​Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat yang bakal berlangsung di ibu negara itu antaranya akan membincangkan hala tuju Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selain memperincikan kedudukan parti komponen lain.

​"Kita masih belum membuat keputusan lagi (mengenai PRN Johor). Kita sudah menerima taklimat awal daripada Pas Johor namun taklimat terperinci belum diperoleh.

​"Oleh itu, kita akan membincangkannya dalam mesyuarat pada hari Rabu ini," katanya kepada pemberita selepas kuliah Duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

​Beliau berkata demikian bagi mengulas status Pas sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya dalam PRN Johor akan datang.

​​Mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa Pas mahu menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada PN, Abdul Hadi menegaskan bahawa hubungan antara kedua-dua parti itu sememangnya sudah lama terputus.

​"InsyaALLAH, tunggu sahaja mesyuarat pada hari Rabu ini. Kita sudah lama memutuskan hubungan dengan Bersatu, memang sudah putus," jelas beliau.

​Menurutnya, tindakan Pas menjarakkan diri adalah berpunca daripada tindakan pihak pengurusan (PN) terdahulu yang merangka perlembagaan gabungan demi memberikan kuasa mutlak kepada pengerusi, termasuk dalam menentukan penggunaan logo pilihan raya.

​"Mereka berbuat demikian untuk mengikat kita. Disebabkan itulah kita mahu melepaskan diri daripada ikatan tersebut, dan Pas bertindak sedemikian," katanya.

​Ditanya mengenai nasib parti komponen lain seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Jaringan India Malaysia (MIPP), Abdul Hadi menyerahkan perkara itu kepada keputusan majoriti parti anggota berdasarkan perlembagaan.

​"Kita (Pas) sebagai pengerusi... Bersatu masih menjadi ahli, namun kita sudah memutuskan hubungan dengan Bersatu.

"Sekarang ada dua parti lagi, iaitu parti kerajaan (merujuk komponen lain) dan parti IPP. Terpulang kepada kedua-dua parti ini sama ada mahu menyokong kita atau sebaliknya.

​"Mengikut perlembagaan, keputusan mestilah dibuat berdasarkan majoriti parti anggota (termasuk MIPP dan Gerakan sekali gus)," katanya.

​Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menyangkal kenyataan pemimpin Bersatu yang menafikan bahawa parti tersebut menjadi penghalang kepada kemasukan parti-parti lain ke dalam PN sebelum ini.

​Katanya, Pas mahu penglibatan orang Melayu-Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem berterusan, namun hasrat tersebut ditolak oleh Bersatu.

​"Itu tidak betul, tidak betul (dakwaan Bersatu tidak menyekat). Kita sudah mengemukakan nama-nama ini dan kita bersetuju, tetapi Bersatu tidak bersetuju.

​"Akibatnya, mereka hanya berada di luar sebagai penyokong, termasuklah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa dan MIC pun termasuk dalam senarai itu," katanya lagi.

​Dalam pada itu, Abdul Hadi mengesahkan beliau akan menghadiri Konvensyen RESET Malaysia yang diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.

Jelas beliau, ​ pengumuman dan majlis pemilihan dijadualkan berlangsung di Tanah Merah esok turut melibatkan keputusan membabitkan hala tuju empat buah negeri ditadbir PN.