GEORGE TOWN - Pasangan yang melakukan aksi tidak senonoh di Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, Ayer Itam di sini direman tiga hari sehingga Khamis untuk membantu siasatan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret 3 di sini pada pagi Selasa.
Mahkamah membenarkan reman terhadap pasangan tersebut bermula Selasa sehingga 26 Mac ini.
Sebelum ini, polis menahan sepasang lelaki dan wanita yang disyaki terlibat dalam perbuatan lucah di sebuah tanah perkuburan selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek wanita berusia 37 tahun ditahan kira-kira jam 8.35 malam di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak.
Menurutnya, sementara suspek lelaki berusia 58 tahun diberkas kira-kira jam 11.10 malam di hadapan sebuah bangunan berhampiran Jalan Paya Terubong, Sungai Ara pada Isnin.
**media[3470589]**
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan pada hari sama selepas pihak polis menerima laporan berhubung video tular berkenaan.
Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua individu terbabit merupakan warga tempatan dan telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, dalam rakaman berdurasi 38 saat itu, seorang lelaki dilihat dalam keadaan tidak berpakaian sambil membelakangi kamera manakala seorang wanita pula hanya berpakaian separa dan duduk di atas sebuah batu nisan.
Rakaman tersebut turut memaparkan suara seorang wanita yang menegur pasangan terbabit dengan mendakwa kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di lokasi berkenaan.
Dalam klip sama, lelaki berkenaan kelihatan bersahaja mengenakan semula seluarnya sementara individu yang merakam terus menegaskan bahawa kawasan perkuburan seharusnya dihormati sebagai tempat memperingati si mati.
Lelaki itu kemudian memohon maaf atas perbuatannya namun permohonan tersebut tidak diterima apabila wanita berkenaan memberi amaran akan membuat laporan kepada pihak polis.

