Pasangan dicekup khalwat dua kali dihukum enam sebatan

15 Sep 2026 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasangan dicekup khalwat dua kali dihukum enam sebatan
Pesalah syariah (kiri) dan pasangan (belakang) ketika dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Terengganu pada Selasa atas kesalahan khalwat kali kedua tahun lalu.
Image from: Pasangan dicekup khalwat dua kali dihukum enam sebatan
Pesalah syariah (kiri) dan pasangan (belakang) ketika dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Terengganu pada Selasa atas kesalahan khalwat kali kedua tahun lalu.
Image from: Pasangan dicekup khalwat dua kali dihukum enam sebatan
Berdasarkan latar belakang kes, dua pesalah iaitu Mohammad Farish Ezmie, 41 dan Che Nurul Syamilia Che Mat Hamdan, 20 didapati berada bersama-sama di dalam sebuah bilik hotel di Kemaman kira-kira jam 1 pagi pada 14 Disember 2025.

KUALA TERENGGANU - Dua pesalah khalwat dihukum enam kali sebatan selepas Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada Selasa membenarkan semakan kes dibuat oleh Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail.

​Permohonan semakan tersebut difailkan berhubung isu persoalan undang-undang berkaitan tafsiran bentuk hukuman bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022) bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya.

​Isu dibangkitkan itu melibatkan tafsiran berkenaan bentuk hukuman sama ada ia perlu diputuskan secara kombinasi atau pilihan mengikut budi bicara mahkamah.

​Perkara terbabit rentetan keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 11 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terhadap tertuduh.

**media[3648560]**

​Keputusan tersebut bagaimanapun didapati tidak selari dengan keputusan dibuat oleh dua lagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

​Berdasarkan peruntukan Seksyen 31 (Pindaan 2022), bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pelaku boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

​Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Abd Malik Wan Sidek bersama dua lagi panel iaitu Datuk Abdul Walid Haji Abu Hassan dan Datuk Mohd Yazid Mustafa secara sebulat suara membenarkan semakan berkenaan dan berpandangan keputusan awal dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah tidak tepat.

Sehubungan itu, panel hakim mengubah keputusan asal dengan menambah hukuman sebatan iaitu kedua-dua pesalah dihukum enam kali sebatan serta denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

​Hukuman sebatan berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan dibacakan, sementara menunggu pelaksanaan hukuman tersebut, kedua-dua mereka yang telah pun berkahwin dilepaskan dengan seorang penjamin.

**media[3648994]**

​Dalam pada itu, panel hakim Mahkamah Rayuan turut menetapkan bahawa maksud hukuman dalam peruntukan Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022) bagi kesalahan berulang adalah berbentuk kombinasi.

​Menurut mahkamah, seseorang disabitkan dengan kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman sama ada kombinasi sebatan dan denda, hukuman penjara dan denda, atau ketiga-tiga kombinasi hukuman iaitu sebatan, penjara serta denda.

Berdasarkan latar belakang kes, dua pesalah iaitu Mohammad Farish Ezmie, 41 dan Che Nurul Syamilia Che Mat Hamdan, 20 didapati berada bersama-sama di dalam sebuah bilik hotel di Kemaman kira-kira jam 1 pagi pada 14 Disember 2025.

​Perbuatan berada bersama tanpa hubungan suami isteri atau mahram itu boleh menimbulkan syak bahawa kedua-duanya melakukan perbuatan tidak bermoral, sekali gus mendatangkan kesalahan berkhalwat bawah Seksyen 31(a) bagi lelaki dan Seksyen 31(b) bagi perempuan bawah enakmen sama.

​Sebelum kesalahan berulang ini dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 11 Mac 2026, kedua-dua tertuduh pernah mempunyai rekod sabitan terdahulu bagi kesalahan khalwat.

​Mohammad Farish Ezmie pernah dihukum denda RM2,600 atau tiga bulan penjara pada 4 November 2025, manakala Che Nurul Syamilia pernah dikenakan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara pada 23 September 2025 bagi kesalahan pertama mereka.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved