
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu menambah hukuman enam sebatan terhadap dua pesalah khalwat kali kedua, selepas memutuskan hukuman bagi kesalahan berulang di bawah Seksyen 31 perlu dilaksanakan secara kombinasi.
Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Abd. Malik Wan Sidek bersama Datuk Abdul Walid Abu Hassan dan Datuk Mohd Yazid Mustafa sebulat suara membenarkan permohonan semakan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail hari ini.
Mahkamah Rayuan Syariah turut meminda hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 11 Mac lalu terhadap kedua-dua tertuduh yang sebelum ini masing-masing didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Susulan keputusan terbaharu itu, kedua-duanya kini dihukum enam sebatan selain denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah menetapkan hukuman sebatan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan manakala kedua-dua responden dibenarkan berada di luar penjara sementara menunggu pelaksanaan hukuman dengan jaminan seorang penjamin.
Semakan berkenaan dikemukakan bagi mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022), khususnya berhubung bentuk hukuman bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya.
Panel Mahkamah Rayuan Syariah berpandangan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini tidak tepat dan menjelaskan peruntukan tersebut membawa maksud hukuman secara kombinasi.
Menurut mahkamah, pesalah yang melakukan kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan sebatan bersama denda, penjara bersama denda atau ketiga-tiga hukuman berkenaan iaitu sebatan, penjara dan denda.
Dalam kes tersebut, Mohammad Farish Ezmie, 41, dan Che Nurul Syamilia Che Mat Hamdan, 20, didapati berada bersama di sebuah bilik hotel di Kemaman kira-kira pukul 1 pagi pada 14 Disember 2025.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 31(a) dan 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. Kedua-dua mereka sebelum itu telah mempunyai sabitan atas kesalahan sama.
Mohammad Farish Ezmie sebelum ini dikenakan denda RM2,600 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda pada 4 November 2025 manakala Che Nurul Syamilia didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda pada 23 September 2025. – UTUSAN
The post Hukuman dua pesalah khalwat berulang ditambah enam sebatan appeared first on Utusan Malaysia.






