Pasangan kekasih dikenal pasti mangsa rentung dalam kereta terbakar di plaza tol

19 Jan 2026 • 10:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Identiti dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini awal pagi tadi dikenal pasti sebagai pasangan kekasih.
image is not available
Dalam kejadian pada 1.15 pagi tadi, kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol menyebabkan ia terbalik dan terbakar.

JITRA - [DIKEMAS KINI] Identiti dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini awal pagi tadi dikenal pasti sebagai pasangan kekasih yang beralamat dari Perlis dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Pang Seng Ching, 20, yang memandu kereta dan seorang lagi disyaki teman wanitanya, Tan Hui Shan, 19.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi Isnin, kereta Honda Civic warna hitam milik Seng Ching terbabit kemalangan jalan raya di Plaza Tol Jitra arah Utara.

"Kedua-dua disahkan maut di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar pembahagi lorong tol sebelum terbalik dan terbakar," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua individu ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara Selatan, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 pagi berhubung kejadian terbabit.