Pasangan suami isteri bershopping guna kad debit ditemui, lepas kantoi desak mangsa padam posting?

LocalOpinion
12 Feb 2025 • 12:11 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang wanita mendakwa kad debit miliknya telah digunakan tanpa kebenaran oleh pasangan suami isteri untuk membeli-belah selama dua hari berturut-turut, mengakibatkan kerugian sekitar RM400.

Mangsa hanya menyedari kehilangan kadnya pada 5 Februari ketika ingin menyemak baki akaun. Kali terakhir beliau menggunakan kad tersebut adalah pada 3 Februari di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor sebelum menaiki perkhidmatan e-hailing pulang ke rumah.

Menurut perkongsian Yong Sofia Yusof di Facebook, transaksi tidak sah itu dilakukan pada 4 dan 5 Februari 2025 di beberapa lokasi sekitar Skudai. Rakaman CCTV yang diperoleh turut menunjukkan pasangan terbabit menggunakan kad debit itu di beberapa premis. Ekoran itu, beliau segera menghubungi bank dan membuat laporan polis.

Pelaku hubungi mangsa, minta padamkan video

Selepas hantaran itu tular di media sosial, seorang wanita tampil mengaku mengambil kad tersebut menghubungi mangsa melalui Messenger, mendakwa mereka menemui kad itu dalam sebuah kenderaan e-hailing dan berjanji untuk membayar semula wang yang telah dibelanjakan.

“Helo, pasal kad tu dijumpa dekat dalam Grab. Saya bukan curi, bukan apa, tapi saya jumpa kad tu. Tapi macam ni lah, saya tak nak besarkan cerita. Saya ganti balik duit awak tu yang RM400 tu semua.

“Saya ada anak kecil dua orang, saya tak nak kes jadi besar, so kami bayar je balik duit awak tu semua. Kami minta maaf. Dan kami minta video dan rakaman dipadam. Kami tak nak sampai benda ini tersebar,” katanya.

image is not available

Namun, Yong Sofia memaklumkan beliau belum menerima sebarang pengembalian semula wang tersebut dan telah merujuk kes ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

“Saya serahkan kes ini kepada pihak berkuasa. Saya kongsi perkara ini sebagai pengajaran kerana ramai yang memberitahu mereka ada kes mencuri sebelum ini,” ujarnya.

‘Dia yang cuai’

Bagaimanapun, wanita terbabit sekali lagi tampil memaklumkan bahawa dia sudah mengembalikan wang tersebut. Malah telah berusaha memaklumkan perkara itu kepada Yong Sofia.

“Saya dah bayar. Pagi ini saya bayar. Tapi dia tak padam (posting). Saya chat, call semua tak balas. Saya dah beritahu. Duit dah masuk semua. Saya call, tak angkat.”

Selain itu, seorang lagi individu dipercayai pasangan kepada wanita berkenaan turut menafikan dakwaan mencuri kad itu. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah di atas kecuaian Yong Sofia sendiri.

image is not available

“Saya dah deal dengan orang ini. Kalau saya bayar, dia akan padam juga (posting ini). Dan lagi satu, saya bukan mencuri, tetapi kad ini kami jumpa. So atas kecuaian dia.”

“Kalau betul kami mencuri, mesti kad pengenalan dia sekali dengan beg dia kami ambil. Memang ada salah kami, tapi dia deal kami bayar dan dia akan padamkan itu semua (posting). Kalau tidak, kami pun akan buat report itu semua,” tegasnya.