Pasangan suami isteri tak mengaku salah guna duit Pesta De San Pedro

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 11:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atas mereka. Foto: Sinar Harian

MELAKA - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Khamis atas pertuduhan menyalahgunakan wang geran berjumlah RM30,000 milik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dua tahun lalu.

Tertuduh, Sara Frederica Santa Maria, 57, dan suaminya Sikim Gompongan, 60, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama-sama antara 26 Jun 2024 hingga 25 September 2024 di sebuah bank cawangan Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah, telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang peruntukan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) berjumlah RM30,000.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Peruntukan itu diberikan oleh MOTAC bagi penganjuran Program Pesta De San Pedro 2024 di Kampung Portugis.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, selain sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacobbyang mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam yang mewakili tertuduh, Cassian Anthony, memohon jaminan rendah susulan kedua-dua anak guamnya menghadapi masalah kesihatan.

Menurutnya, pasangan itu juga telah bertahun-tahun menjalankan pelbagai aktiviti di perkampungan tersebut termasuk mengajar tarian dan kebudayaan.

Tertuduh memberi jaminan bersetuju dengan syarat tambahan yang dicadangkan, namun menyifatkan amaun jaminan RM20,000 terlalu tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga pelupusan kes serta perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Mahkamah menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.