KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rasuah serta satu pertuduhan menipu melibatkan wang berjumlah RM5,300 pada awal tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Syazwan Jemaan, 32, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM300 daripada seorang wanita sebagai upah kerana membebaskannya daripada tahanan reman polis.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 9 pagi pada 26 Januari 2025 di Bilik Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa meminta dan cuba memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk tidak menuduhnya di mahkamah atas kesalahan jenayah komersial.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 5.20 petang pada 3 Februari 2025 hingga jam 2.15 petang pada 5 Februari 2025 di lokasi yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, dalam kes berasingan di mahkamah sama, tertuduh turut berdepan pertuduhan menipu wanita berkenaan sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM1,000 sebagai wang jaminan bagi membebaskan adiknya daripada tahanan reman.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 10.15 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 21 Januari 2025 di lokasi sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, Mohamad Syazwan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM7,000 bagi kes pertama dan RM5,000 bagi kes kedua serta menetapkan 15 April depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Adawiyah Mohd, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
