Pasangan tunang dicekup curi makanan

17 Jul 2026 • 8:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasangan tunang dicekup curi makanan
Gambar tular memaparkan pasangan tunang ditahan disyaki mencuri makanan di lobi sebuah residensi di Kajang baru-baru ini.

KAJANG - Pasangan tunang antara tiga individu ditahan polis selepas disyaki mencuri makanan di lobi sebuah residensi di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kejadian diterima pihaknya pada jam 2.27 pagi daripada seorang penyelia pengawal keselamatan.

Menurutnya, penyelia berkenaan memaklumkan telah berlaku kecurian makanan yang dihantar kepada penghuni di lokasi terbabit.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kesemua suspek yang ditahan merupakan penganggur dan polis turut merampas sehelai baju berlogo polis serta mempunyai tulisan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Naazron berkata, semakan mendapati suspek terbabit mempunyai rekod berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.

Bagaimanapun, katanya, ketika tangkapan dilakukan, tiada sebarang makanan curi ditemukan bersama suspek.

"Namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati adanya perlakuan tersebut pada beberapa tarikh yang berlainan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas dua suspek iaitu lelaki dan wanita yang juga pasangan tunang didapati positif methamphetamine.

Katanya, pasangan tunang terbabit direman sehingga Sabtu, manakala seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 89(a) Akta Polis 1967 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Amiruddin Abdul di talian 013-2304156 bagi membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved