Pasar Pudu 'port' warga asing digempur JIM

20 Jun 2026 • 10:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasar Pudu 'port' warga asing digempur JIM
Antara individu warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan.
Image from: Pasar Pudu 'port' warga asing digempur JIM
Keadaan sekitar kawasan Pasar Pudu sebelum ini didakwa menjadi tumpuan warga asing berada dalam keadaan tidak terurus selain kotor.
Image from: Pasar Pudu 'port' warga asing digempur JIM
Keadaan bilik disewa warga asing dalam keadaan kotor serta meloyakan dengan bau kurang menyenangkan.

KUALA LUMPUR - Bau busuk, longgokan sampah dan persekitaran yang kotor antara keadaan yang dilihat di kawasan rumah kedai tiga tingkat sekitar Pasar Pudu yang dipercayai menjadi penempatan ratusan warga asing.

Tinjauan Sinar Harian yang mengikuti Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur awal pagi Sabtu mendapati keadaan sekitar premis berkenaan berada dalam keadaan tidak terurus dengan sampah sarap bertaburan selain menimbulkan suasana meloyakan.

Kawasan tersebut dipercayai menjadi tumpuan warga asing yang menyewa bilik di tingkat satu hingga tiga bangunan berkenaan dengan kadar sewa antara RM300 hingga RM400 sebulan.

Bahagian bawah bangunan pula menempatkan beberapa premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian, sayur-sayuran dan makanan.

**media[3556779]**

Seorang individu tempatan yang mahu dikenali sebagai Rahman berkata, kebanjiran warga asing di kawasan itu bukan lagi perkara baharu kerana kebanyakan mereka bekerja di pasar dan sektor pekerjaan sekitar ibu negara.

Menurutnya, jumlah warga asing yang semakin ramai menyebabkan kawasan berkenaan menjadi sesak selain menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang ramai.

"Setiap hari memang ramai warga asing berada di sini, mereka bekerja di pasar dan kawasan sekitar, malah ada yang tinggal beramai-ramai dalam satu premis.

"Keadaan itu menyebabkan kawasan ini sentiasa sesak dan kadangkala menimbulkan rasa kurang selesa kepada pengunjung," katanya.

Seorang lagi individu yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan mendakwa, antara masalah utama di kawasan itu ialah tahap kebersihan yang kurang memuaskan.

Katanya, terdapat segelintir warga asing yang tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan kawasan sekitar kelihatan kotor dan tidak terurus.

"Saya pernah melihat mereka meludah serta membuang sampah merata-rata, sikap seperti ini menyebabkan kawasan sekitar menjadi kotor dan mencemarkan pemandangan.

"Kalau perkara ini berterusan, saya bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan awam dan mengundang pelbagai penyakit," katanya.

**media[3556781]**

Beliau turut memuji tindakan pihak berkuasa khususnya JIM yang mengambil langkah segera menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

"Saya harap operasi seperti ini diteruskan secara berkala supaya isu kebanjiran warga asing dan masalah kebersihan dapat ditangani dengan lebih berkesan," ujarnya.

Sementara itu, JIM Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan operasi yang bermula jam 12.05 tengah malam itu dilaksanakan hasil aduan awam serta rungutan penduduk mengenai kebanjiran warga asing di sekitar Pasar Pudu.

Menurut kenyataan itu, serbuan melibatkan 137 pegawai dan anggota daripada JIM Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jelas kenyataan itu, pemeriksaan dijalankan ke atas 320 individu.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan membabitkan 149 lelaki dan 37 wanita kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama," katanya.