
SHAH ALAM, 20 JUN: Seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Kutip yang dijalankan di beberapa bangunan sekitar Pasar Pudu, pagi tadi.
Operasi yang bermula pada jam 12.05 tengah malam itu menyasarkan bangunan yang dipercayai menjadi tempat tinggal warga asing di kawasan berkenaan.
Ketika serbuan, beberapa warga asing dilaporkan cuba melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, cubaan mereka gagal selepas berjaya dikesan dan ditahan oleh anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi berkenaan.
JIM Kuala Lumpur memaklumkan operasi itu membabitkan 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut jabatan itu, seramai 320 warga asing diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 186 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Daripada jumlah yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 118 lelaki, diikuti warga Indonesia seramai 28 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita.
“Turut ditahan adalah 26 warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan 13 wanita, lima warga Vietnam, empat warga Nepal, dua warga India, seorang warga Pakistan serta dua warga China,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut JIM Kuala Lumpur, siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.






