
Kota Kinabalu: Sebuah pasar raya didenda RM6,000 kerana menjual pensanitasi tangan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak mempunyai label.
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abd Samad menjatuhkan hukuman itu kepada pasar raya Chua Kah Seng (CKS) Sdn Bhd selepas wakilnya mengaku kepada dua pertuduhan terhadap syarikat itu, pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu diperintah membayar RM3,000 kerana mempunyai sejenis pensanitasi tangan tidak berdaftar iaitu 24 unit Theaoson Alcohol-Based Handcrub pada jam 11.20 pagi 9 Sept 2020 di premis CKS di Lorong Pokok Seraya 5, di sini.
Kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga kepada RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didenda RM3,000 lagi kerana menjual dua jenis pensanitasi tanpa notifikasi di tempat dan pada hari yang sama. Pensanitasi tersebut ialah lapan unit Laavi Ec505 Hand Sanitiser dan 60 unit EC505 Hand Sanitiser.
Semasa rayuan, wakil syarikat melalui peguam Valeri Chai Pei Shan, meminta hukuman ringan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Amira Diyana Rosman dari Jabatan Farmasi menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
