Wanita jual produk beracun didenda RM9,000

14 Oct 2022 • 4:47 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 36 tahun didenda sejumlah RM9,000 kerana menjual produk mengandungi racun tanpa lesen, memiliki produk tidak berdaftar serta kosmetik tanpa label.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abdul Samad menjatuhkan hukuman itu kepada Jacquline Chang yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, Chang didenda RM2,000 atau penjara enam minggu ingkar kerana menjual 10 produk mengandungi racun yang dia tidak miliki lesen, pada jam 11.30 pagi 10 Sept 2020 di bangunan Rakan Jaya di Blok J, Sulaman Sentral Fasa 3, Jalan Sepanggar Bay, Kuala Manggatal, dekat sini.

Pertuduhan menyatakan bahawa racun yang dikesan dalam produk itu ialah Tadalafil yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.

Chang telah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didenda RM3,500 atau penjara 10 minggu kerana memiliki 30 produk tidak berdaftar di tempat dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Chang diperintah membayar denda RM3,500 lagi atau penjara 10 minggu kerana memiliki 16 jenis kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.

Semasa rayuan, Chang meminta denda rendah dengan mengatakan perniagaannya dalam keadaan kurang baik dan dia mendakwa tidak tahu produk yang dimilikinya tidak boleh dijual.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Amira Diyana Rosman menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas sebab ia merupakan kesalahan serius yang melibatkan kesihatan orang ramai.

Amira memberitahu mahkamah bahawa kesemua produk rampasan itu dianggarkan bernilai RM8,017.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.