Pasar raya terkemuka Australia, Coles masuk pasaran Malaysia melalui Jaya Grocer

LocalFood
7 Jul 2023 • 9:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pasar raya terkemuka Australia, Coles masuk pasaran Malaysia melalui Jaya Grocer

zulfadli

07/07/2023 - 09:48

KUALA LUMPUR 7 Julai - Rangkaian pasar raya terkemuka Australia, Coles Supermarkets memasuki pasaran Malaysia dengan 200 barangan keluarannya melalui kerjasama eksklusif bersama jenama pasar raya terkemuka tempatan, Jaya Grocer.

Perjanjian ini memberi rangkaian luas kepada barangan Australia Jaya Grocer yang mencapai lebih 1,000 barangan keluaran negara Australia, termasuk jenama Coles.

Ia boleh didapati di kesemua 43 cawangan Jaya Grocer serta melalui penghantaran oleh GrabMart di seluruh Malaysia.

Sebagai rangkaian pasar raya terkemuka tempatan, Jaya Grocer juga terkenal dengan pelbagai bahan segar dan barangan import berkualiti tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan pilihan barangan berkualiti tinggi keluaran Australia kepada pelanggan sebagai tambahan kepada rangkaian luas yang sedia ada ini.

"Inisiatif ini menjadi kenyataan hanya dengan kerjasama eksklusif bersama Coles. Perkongsian ini adalah keputusan strategik Jaya Grocer untuk berkhidmat kepada komuniti besar ekspatriat Australia.

"Kami berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi kami atas kepercayaan mereka dan yakin bahawa pelanggan Jaya Grocer akan memperoleh nilai dan kualiti unggul dalam barangan yang dipilih untuk mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.

image is not available

Terdahulu, Daniel dan Pengurus Besar Pengeksportan dan Komersial Segar Coles, Will Mulholland memeterai perjanjian itu di cawangan Jaya Grocer The Starling Mall yang disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Clare Gatehouse.

Majlis tersebut juga diadakan bersempena dengan Pameran Barangan Australia oleh Jaya Grocer yang disokong Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade) yang akan berlangsung sehingga 9 Julai 2023 di kesemua 43 cawangan Jaya Grocer di seluruh negara.

Sementara itu, Mulholland berkata, rangkaian pasar raya Coles teruja untuk bekerjasama dengan Jaya Grocer bagi mengembangkan rangkaian mereka yang berkualiti dan bernilai tinggi dalam pasaran Malaysia.

"Coles telah mengeksport makanan Australia berkualiti tinggi selama tidak kurang 20 tahun ke melebihi 30 buah negara di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk memberi inspirasi kepada pelanggan sekali gus menyampaikan jenama dan barangan kebanggaan kami serta menjadi cadangan terunggul pelanggan kami," katanya.

Pelanggan boleh menikmati diskaun sebanyak 15% untuk barangan terlaris Coles Own Brand seperti Coles Rice Crackers Seaweed, Coles Chocolate Finger Biscuits, Coles Drinking Chocolate, Coles Hot Chocolate Sachets dan banyak lagi sehingga 9 Julai 2023. - DagangNews.com