Pasaran Amerika Latin diramal pacu pertumbuhan pendapatan DXN pada FY26 - penganalisis

05/05/2025 - 16:31
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 5 Mei - Pendapatan DXN Holdings Bhd pada FY26 dijangka meningkat dipacu pengembangan ke pasaran baharu di Amerika Latin, menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, unjuran pertumbuhan keuntungan tahun kewangan DXN sebanyak 12% tahun-ke-tahun (y-o-y) bagi tahun kewangan yang akan datang berasaskan kehadiran syarikat di pasaran teras seperti Peru, Bolivia, Mexico, dan India. DXN terkenal dengan produk kesihatan dan kesejahteraan.
Syarikat itu juga baru-baru ini telah memasuki pasaran baharu di Brazil dan Argentina, di mana jualan dan pengambilan ahli mencatatkan hasil yang memberangsangkan.
RHB Research berkata, keputusan kewangan DXN bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025 (FY25) menepati jangkaan, disokong oleh jualan kukuh di pasaran utama dan kecekapan operasi yang membantu mengatasi kesan negatif turun naik mata wang.
"Keuntungan bersih teras DXN sebanyak RM329 juta memenuhi 100% unjuran mereka, dan 97% daripada jangkaan pasaran," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY27, dan menjangkakan pertumbuhan 12% bagi FY28.
DXN mencatat pendapatan RM1.9 bilion bagi FY25, meningkat 6% berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh prestasi kukuh di pasaran utama serta pelancaran produk dan pemasaran yang berkesan.
RHB Research melihat kemasukan ke pasaran Brazil sebagai pemacu pertumbuhan jangka sederhana, dengan jangkaan sumbangan ketara dalam tempoh tiga hingga empat tahun, hasil kekuatan rangkaian DXN di Amerika Latin.
DXN juga kekal kukuh dari segi kewangan, dengan tunai bersih berjumlah RM517 juta atau 10.4 sen sesaham, membolehkan agihan dividen yang besar kepada pemegang saham.- DagangNews.com
standard


