
GEORGE TOWN : China kini muncul sebagai pasaran pelancongan antarabangsa kedua terbesar Pulau Pinang, manakala India pula melonjak daripada kelompok 10 pasaran tertinggi kepada lima pasaran utama dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, perkembangan positif itu hasil promosi berterusan oleh Penang Global Tourism (PGT) dan Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan, ejen pelancongan dalam talian (OTA) serta pemain industri.
“Ketika ini, pertumbuhan pasaran di China banyak disokong oleh peluasan rangkaian penerbangan terus dari beberapa bandar utama termasuk Shanghai, Xiamen, Qingdao dan Chengdu, selain dasar pengecualian visa, kempen promosi digital dan sebagainya.
“Sementara itu, pasaran atau akses dari India diperkukuh menerusi pelancaran penerbangan terus bagi laluan Chennai-Pulau Pinang oleh IndiGo yang secara tidak langsung membuka peluang bagi mempromosikan percutian, lawatan keluarga serta perjalanan perniagaan di sini,” katanya.
Hon Wai (PH-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) mengenai pencapaian kempen pelancongan untuk pasaran di China, India dan Asia Tenggara bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini,
Mengulas mengenai perkembangan pasaran di Asia Tenggara pula, beliau berkata, Indonesia kekal sebagai penyumbang pelancong antarabangsa terbesar bagi Pulau Pinang dengan pelancongan perubatan menjadi antara tarikan utama selain percutian, perniagaan dan lawatan keluarga.
Katanya, Singapura dan Thailand turut menjadi pasaran penting yang disokong hubungan serantau serta penerbangan terus termasuk laluan Phuket-Pulau Pinang, manakala penerbangan Batam-Pulau Pinang oleh Batik Air yang bermula 18 Oktober lalu dijangka memperluas akses dari Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Pulau Pinang berjaya merekodkan seramai 527,176 pesakit warga asing dengan menjana hasil pelancongan perubatan sekitar RM1.14 bilion sepanjang tahun lalu.
“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) bagi tempoh untuk separuh pertama tahun ini, kira-kira 285,400 pelancong perubatan direkodkan telah datang ke Pulau Pinang dengan janaan hasil berjumlah RM601.8 juta,” ujar beliau.-UTUSAN
The post Pasaran China, India pacu pertumbuhan pelancongan di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.




