
Lelaki warga China dijanjikan bayaran RMB2,000 untuk membawa dua kilogram kokain dari Pulau Pinang sebelum ditahan di Lapangan Terbang Hong Kong
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga China yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki membawa dua kilogram (kg) kokain dari Pulau Pinang pada Khamis lepas, dijanjikan bayaran RMB2,000 (kira-kira RM1,200) bagi membawa dadah berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dadah tersebut ditemukan dalam bagasi daftar masuk lelaki berusia 25 tahun itu hasil pemeriksaan pihak kastam Hong Kong.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah itu daripada seorang individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
“JSJN akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan butiran lanjut berkait perkembangan kes termasuk ahli sindiket terlibat di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hussein berkata pasport lelaki itu dikeluarkan pada Oktober 2026 dan tidak mempunyai rekod perjalanan lain, selain rekod beberapa tempahan hotel sepanjang berada di Malaysia selama tiga hari.
Jabatan Kastam Hong Kong sebelum ini memaklumkan lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada Khamis lepas, setelah dikesan membawa dua kg dadah dipercayai kokain dalam bagasinya.
Suspek kemudian didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya dan kes berkenaan dijadual disebut di Mahkamah Majistret Kowloon Barat.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta (RM2.7 juta) jika sabit kesalahan.






