Pasaran hartanah khususnya di Johor diyakini kekal stabil dipacu pembangunan JS-SEZ - MIDF Research

09/05/2025 - 12:06
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 9 Mei — Pasaran hartanah Malaysia khususnya di Johor diyakini kekal stabil dipacu pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid Johor Baru–Singapura, kata MIDF Research.
Katanya, walupun perang perdagangan global mempengaruhi sentimen pelabur ketika ini, namun ia tidak terlalu memberi kesan kepada prospek pasaran hartanah di negara ini.
Firma penyelidikan itu berkata, permohonan pinjaman pada suku pertama 2025 (1Q25) menunjukkan minat pembelian hartanah yang kekal positif dengan data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan permohonan pinjaman meningkat 15.3% secara bulanan kepada RM54.6 bilion pada Mac berbanding 6.1% peningkatan bulan sebelumnya.
"Permohonan pinjaman bagi 1Q25 meningkat 2.4% berbanding tahun sebelumnya kepada RM146.6 bilion.
"Permohonan pinjaman yang lebih tinggi pada Mac menunjukkan pemulihan selepas angka lebih rendah pada Januari, disebabkan cuti sekolah dan cuti umum Tahun Baru Cina," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research menjangkakan, nisbah pinjaman diluluskan akan kembali normal meskipun terdapat pelancaran projek hartanah baharu, dengan kelulusan pinjaman 1Q25 menurun sedikit kepada RM59.8 bilion, turun 0.6% berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, Indeks Hartanah KL mencatatkan ketidakstabilan pada April lalu selepas pengumuman tarif timbal balas oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 2 April, dengan indeks jatuh 3.2% berbanding kenaikan 1.8% dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).
Firma penyelidikan itu kekal optimis terhadap saham hartanah dan menjangkakan hasil lebih baik bagi pemaju hartanah dalam keputusan kewangan 1Q25 yang akan datang, disokong oleh jualan kukuh tahun lepas.
"Keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan memberi impak kepada minat pembelian hartanah, terutamanya hartanah berskala besar.
"Antara saham utama dengan saranan "beli" bagi pemaju hartanah termasuk Mah Sing Group Bhd dengan harga sasaran (TP) RM1.49, Eco World Development Group Bhd (RM2.05) dan UOA Development Bhd (RM1.93)," katanya.- DagangNews.com
standard



