Pasaran Kripto ‘Berdarah’! $60 Bilion Lenyap Sehari Selepas BTC Gagal Bertahan

Business & Finance
7 Oct 2026 • 8:37 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Pasaran Kripto ‘Berdarah’! $60 Bilion Lenyap Sehari Selepas BTC Gagal Bertahan

Pasaran mata wang kripto global kembali berdepan tekanan jualan besar-besaran selepas Bitcoin (BTC) gagal melepasi paras rintangan psikologi $87,000, sebelum menjunam mendadak ke bawah paras $84,000 pada sesi dagangan hari ini. Kegagalan mengekalkan momentum kenaikan itu mencetuskan pembetulan harga yang agresif oleh pihak penjual. Ini secara tidak langsung menolak harga BTC jatuh lebih $2,000 dalam tempoh beberapa minit ke paras terendah sekitar $83,600 sebelum bergelut untuk bertahan di paras $84,000.

Tekanan pembetulan ini memadamkan rali jangka pendek yang sebelum ini dicetuskan oleh data makroekonomi Amerika Syarikat. Pada akhir minggu lalu, pengumuman data indeks perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang memberangsangkan serta kelemahan pasaran pekerjaan A.S. (NFP) sempat memacu kenaikan harga melepasi $86,000 dan $87,000. Namun demikian, ketiadaan volum belian lanjutan menyebabkan paras rintangan $86,600 dan $87,000 bertindak sebagai zon penolakan harga yang kukuh.

Penurunan mendadak Bitcoin turut mengheret keseluruhan pasaran altcoin ke zon pembetulan yang parah (bleed out). Ethereum (ETH), mata wang kripto kedua terbesar, mencatatkan penyusutan melebihi 4% untuk berundur ke bawah paras $2,600, manakala XRP kehilangan paras sokongan kritikal $1.50 selepas merosot ke $1.46. Token berprofil tinggi lain seperti HYPE turut berisiko menembusi paras sokongan utama $90.

Kejatuhan yang lebih parah dicatatkan oleh kelompok kripto alternatif bermodal pertengahan dan desentralisasi. Polkadot (DOT) dan Mantle (MNT) mendahului carta kejatuhan dengan masing-masing menjunam antara 9% hingga 10%, diiringi penyusutan mendalam pada Uniswap (UNI -8.5%), Cardano (ADA -6.5%), Shiba Inu (SHIB -6%), dan SUI. Sebahagian besar token utama lain seperti BNB, Solana (SOL), dan Tron (TRX) turut didagangkan dalam zon merah.

Akibat daripada gelombang penjualan pantas ini, pasaran mata wang kripto secara agregat mencatatkan kemerosotan modal yang ketara. Berdasarkan perangkaan CoinMarketCap (CMC), nilai permodalan pasaran kripto global telah lenyap lebih $60 bilion dalam tempoh 24 jam, menyusut ke paras $2.850 trilion, tatkala permodalan pasaran Bitcoin menguncup kepada $1.680 trilion dengan kadar penguasaan pasaran (dominance) kekal teguh pada 59%.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved