Pasaran seni khat tempatan diperluas, buka peluang ekonomi

6 Oct 2026 • 6:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasaran seni khat tempatan diperluas, buka peluang ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memperluas pasaran seni khat tempatan menerusi kerjasama dengan syarikat multinasional dan pelabur bagi membuka peluang ekonomi lebih besar kepada penggiat yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha itu penting bagi memastikan seni khat bukan sahaja dipelihara sebagai warisan kesenian Islam, malah dikembangkan sebagai bidang yang mampu menjana pendapatan kepada penggiatnya.

Beliau berkata, antara pendekatan yang dicadangkan ialah mempertemukan penggiat dan usahawan seni khat dengan syarikat multinasional serta pelabur berpotensi bagi meneroka penggunaan karya khat dalam pelbagai acara dan majlis rasmi.

“Sebagai contoh, dijadikan hadiah dalam majlis rasmi, temasya dan pertandingan supaya kita bukan hanya berbicara tentang seni, tetapi juga tentang impak seni itu kepada kehidupan mereka yang berbakat,” katanya ketika merasmikan Pameran Seni Khat Sedunia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Bagi merealisasikan usaha itu, Zulkifli berkata, cadangan mempertemukan penggiat dan usahawan seni khat dengan pihak berkenaan sudah dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, kerajaan juga akan meneruskan kerjasama dengan persatuan seni khat dan agensi berkaitan, termasuk meneroka kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagi memperkukuh usaha memartabatkan bidang berkenaan.

Katanya, pendekatan secara bersama itu penting kerana Malaysia mempunyai bakat, sumber dan agensi yang boleh digerakkan untuk membangunkan seni khat, namun memerlukan perancangan serta pelaksanaan yang strategik.

Dalam pada itu, beliau berharap Pameran Seni Khat Sedunia dapat dikembangkan sehingga menjadi acara bertaraf antarabangsa yang mampu menjadikan Malaysia sebagai antara pusat rujukan seni khat dunia.

Pameran yang dianjurkan menerusi kerjasama Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia (Kalima) serta Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) itu menghimpunkan 34 karya daripada 17 pempamer, termasuk dua mushaf al-Quran tulisan tangan.

Kepelbagaian karya yang dipamerkan memperlihatkan potensi seni khat tempatan untuk diketengahkan kepada khalayak, sekali gus menyokong usaha memperkukuh kedudukan bidang itu dari sudut kesenian dan ekonomi. – UTUSAN

The post Pasaran seni khat tempatan diperluas, buka peluang ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved