Pasaran Telefon Pintar Global Catat Pertumbuhan 3% Pada Q3 2025 – Samsung Di Tangga Teratas

Digital
15 Oct 2025 • 3:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pasaran telefon pintar global menunjukkan pemulihan pada Q3 2025 yang didorong oleh peningkatan permintaan pengguna untuk menggantikan peranti. Pelancaran produk baharu seperti telefon boleh lipat, rekaan nipis dan warna menarik mendapat sambutan positif. Beberapa pengeluar turut meningkatkan pengeluaran selepas permintaan awal melebihi jangkaan.

image is not available

Samsung masih di kedudukan teratas untuk tiga suku berturut-turut dengan pegangan pasaran sebanyak 19%. Kedudukan ini disokong oleh permintaan terhadap siri Galaxy A serta telefon boleh lipat generasi baharu mereka. Sementara itu, Apple mencatatkan peningkatan penghantaran iPhone sebanyak 4% yang merupakan prestasi terbaik mereka setakat ini. Ia juga hasil daripada permintaan awal terhadap iPhone 17 yang menyumbang kepada 18% pegangan pasaran.

image is not available

Siri iPhone 17 menarik perhatian melalui storan dalaman lebih besar tanpa kenaikan harga, rekaan baharu untuk siri Pro dan kemunculan iPhone Air sebagai bahan ujian teknologi baharu. Dalam masa yang sama, Xiaomi mengekalkan prestasi stabil dengan 14% pegangan pasaran. TRANSSION (Tecno, Infinix & itel) dan vivo pula masing-masing mencatatkan 9% pegangan pasaran sekali gus melengkapkan senarai lima pengeluar teratas.

image is not available
Gambar sekadar hiasan – iPhone 17 Pro

Namun begitu, ketidaktentuan ekonomi global memberi tekanan kepada pengeluar. Mereka perlu pandai mengurus pengeluaran, keuntungan dan sasaran jualan. Kos komponen seperti storan dan memori yang semakin tinggi turut menjejaskan keuntungan. Omdia turut menyarankan pengeluar mencari pendapatan tambahan melalui langganan, pakej bundel dan produk dalam ekosistem untuk terus berkembang.