Pasport: Hanya 40 peratus bagi perjalanan, selebihnya simpan

10 Apr 2023 • 6:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saifuddin Nasution - Foto Rosli Talib

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hanya 40 peratus daripada 2.8 juta pasport yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pasca Covid-19 digunakan untuk tujuan perjalanan segera.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata baki 60 peratus lagi tidak mempunyai tujuan perjalanan dalam masa terdekat.

"Peningkatan permohonan empat kali ganda sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Permohonan boleh dibuat atas talian, apabila pasport dikeluarkan, data menunjukan 40 peratus yang gunakan untuk perjalanan, 60 peratus lagi simpan," katanya dalam sesi Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Azhar Sulaiman itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Sebelum ini Saifuddin mendedahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengeluarkan sebanyak 2.8 juta pasport pasca Covid-19 iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelum itu.

Daripada jumlah itu, 45 peratus memohon pasport secara dalam talian yang hanya mengambil masa tiga minit dan selepas itu pemohon boleh mengambil pasport mereka selepas dua hingga tiga hari.