PASTAM tidak mahu beri tekanan kepada Melaka Titans

26 May 2025 • 1:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Akramuddin (tengah) bergambar bersama pemain Melaka Titans selepas sesi sempena pengenalan barisan pemain Melaka Titans di Alai, pada malam Ahad.

PERSATUAN Sepaktakraw Melaka (PASTAM) tidak mahu memberi tekanan kepada Melaka Titans dalam saingan Divisyen Satu Liga Sepaktakraw (STL) musim ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pendekatan itu penting supaya ahli pasukan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap perlawanan yang dihadapi.

Menurutnya, atas sebab itu pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran besar dalam saingan STL yang bakal bermula tidak lama lagi.

Katanya, bagi memperkukuh pasukan, PASTAM akan membawa masuk dua pemain import dari Thailand, iaitu Yodsanon Laemthaisong (apit kanan) dan Khathadet Srichan (tekong), yang akan bersama pasukan sehingga akhir tahun 2025.

“Penting untuk pemain kerana kita tidak mahu mereka terbeban dengan sasaran kejuaraan.

“Lebih penting ialah tumpuan dan semangat juang setiap kali turun ke gelanggang,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi pengenalan barisan pemain Melaka Titans di Alai, di sini, pada malam Ahad.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, kedua-dua pemain import itu memiliki pengalaman luas dalam kejohanan utama di Thailand dan kehadiran mereka diharap mampu meningkatkan prestasi pasukan secara keseluruhan.

Ujarnya, Melaka Titans turut dibarisi beberapa pemain utama tempatan, antaranya Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Muhammad Zaim Razali dan Muhammad Danial Zakwan Mohd Hairol (apit kiri), serta Adam Ameerul Khairul Anuar dan Muhammad Asyraaf Zawawi (apit kanan).

“Namun, tonggak negara dan killer utama negara, Azlan Alias, tidak dapat diturunkan kerana masih menjalani rawatan di Akademi Sepaktakraw Malaysia (ASTAM) susulan kecederaan,” katanya.

Sebagai rekod, dalam saingan Divisyen Satu STL 2025, Melaka Titans diundi dalam Kumpulan D bersama Sabah dan Penjara Enforcers.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved