Pastikan rakyat tidak terbeban cukai

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pastikan rakyat tidak terbeban cukai
Pengalaman pelaksanaan GST pada tahun 2015 masih segar dalam ingatan sebahagian besar rakyat yang ketika itu berdepan penyesuaian mendadak terhadap kos hidup.

CADANGAN kerajaan untuk mengkaji penggabungan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) wajar dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam usaha menambah baik sistem percukaian negara.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan terbuka meneliti pendekatan itu memberi gambaran kesungguhan mewujudkan sistem percukaian yang lebih cekap, telus dan progresif.

Namun, dalam apa jua bentuk pelaksanaan nanti, kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan kerajaan dan diberikan tumpuan sepenuhnya.

Rakyat sememangnya tidak menolak cukai. Mereka sentiasa memahami hasil cukai diperlukan bagi menjana pendapatan negara, membiayai pembangunan dan memperkukuh perkhidmatan awam.

Namun apa yang menjadi kebimbangan ialah kesan langsung terhadap kos sara hidup makin meningkat, rakyat akan menjadi lebih susah terutamanya mereka di bandar-bandar utama.

Walaupun terdapat jaminan kerajaan barangan keperluan asas tertentu tidak akan dikenakan cukai, tetapi realitinya kesan percukaian sering berlaku secara tidak langsung.

Dalam sektor perkhidmatan misalnya, sebarang cukai tambahan lazimnya akan diterjemahkan kepada peningkatan kos operasi sebelum akhirnya dipindahkan kepada pengguna.

Situasi sama dapat dilihat di premis makanan dan minuman berdaftar dengan SST. Pengguna terpaksa menanggung caj tambahan setiap kali berbelanja.

Walaupun jumlahnya mungkin kecil bagi setiap transaksi dilakukan, kesannya tetap dirasai apabila melibatkan perbelanjaan harian.

Atas sebab itu, kerajaan perlu pastikan sebarang reformasi percukaian dilaksana berperingkat dan tidak mengejutkan rakyat dengan kadar tinggi.

Pengalaman pelaksanaan GST pada tahun 2015 masih segar dalam ingatan sebahagian besar rakyat yang ketika itu berdepan penyesuaian mendadak terhadap kos hidup.

Apa juga nama atau bentuk sistem baharu yang bakal diperkenalkan, matlamat utamanya mesti jelas iaitu memperkukuh ekonomi negara tanpa menambah beban rakyat.

Fikir dan tambah baik terlebih dahulu sebelum laksanakannya sekali lagi. Pisang, jangan berbuah dua kali.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved