Pastikan tingkat pertahanan perairan Sabah, Sarawak

22 Mar 2023 • 3:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BONGAWAN: Kerajaan Persekutuan perlu memastikan usaha meningkatkan pertahanan di perairan Sabah dan Sarawak direalisasikan bagi memastikan kedaulatan negara serta keselamatan rakyat di kedua-dua wilayah itu terjamin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan, Dr Daud Yusuf berkata, ini termasuk pembangunan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu, Sarawak.

Menurutnya, ia penting supaya jaringan keselamatan di perairan Sarawak dan Sabah lebih terkoordinasi, terutamanya melibatkan armada laut memandangkan pangkalan TLDM juga wujud di negeri ini.

Pada masa sama, katanya, Sarawak juga satu-satunya wilayah yang tidak mempunyai pangkalan TLDM sedangkan Sabah memiliki lima pangkalan, manakala Semenanjung juga lima.

“Saya menyokong kehadiran pangkalan TLDM di Bintulu, Sarawak yang telah dirancang sebelum ini dan sewajarnya segera direalisasikan.

“Ini perlu diberi keutamaan kerana ia turut melibatkan kepentingan negara di perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan seperti sektor perikanan serta cari gali minyak dan gas.

“Kedua-dua wilayah ini saling berkaitan, justeru tiada kompromi jika melibatkan keselamatan rakyat, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Isnin lepas.

Dilaporkan, kerajaan sebelumnya pada tahun lalu telah mengumumkan pembangunan pangkalan TLDM atau Mawilla 4 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi memperkukuhkan keselamatan Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, ia mampu meningkatkan keupayaan dan sokongan operasi TLDM yang ketika ini hanya mengharapkan aset TLDM dari Kota Kinabalu dan Sandakan, di Sabah termasuk Armada Barat.

Dr Daud berkata, keupyaan sama juga harus ditingkatkan di Sabah, khususnya aset ketenteraan sedia ada yang sudah terlalu tua, malah tidak mampu menyaingi ancaman ketenteraan moden.

Katanya, antara yang harus dilakukan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pertahanan adalah menggantikan jentera tempur laut dan udara atau ditambah dengan peralatan ketenteraan yang lebih baik.

“Keselamatan negara terutamanya di perairan Laut Cina Selatan harus dipertahankan terutama sekali daripada pencerobohan luar seperti China, dan mana-mana negara yang cuba mengganggu kedaulatan negara kita.

“Tiada guna kita tarik ramai pelabur luar ke Sabah, sekiranya keselamatan dan kepentingan rakyat kita tidak terjamin susulan keupayaan pertahanan kita yang amat terhad, terutamanya aset tempur yang ‘usang’.

“Justeru, Kerajaan Negeri sewajarnya memastikan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pertahanan mengambil perhatian serius perkara ini, jangan sampai ‘sudah terhantuk, baru tengadah’,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.