Pasukan aerobatik Jupiter dari Indonesia hadir LIMA 2025 gegar ruang angkasa Langkawi

25/04/2025 - 10:22
Pasukan aerobatik Jupiter menerbangkan pesawat KT-1B. Oleh Zaki Salleh
KUALA LUMPUR 25 April - Satu lagi daya tarikan pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) 2025 mengesahkan kehadiran iaitu pasukan aerobatik dari negara jiran, Jupiter.
Menurut laman Facebook LIMA 2025, pasukan yang berpangkalan di Yogyakarta ini sedang melakukan persiapan bagi mempamerkan aksi-aksi menarik.
“Jupiter merupakan pasukan aerobatik yang terdiri daripada jurulatih penerbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) menggunakan pesawat KT-1B Wong Bee buatan Korea Selatan.
“KT-1B merupakan pesawat latihan jenis kipas yang terbaik dalam kelasnya serta sesuai untuk melaksanakan penerbangan aerobatik yang mencabar.



“Mereka terkenal dengan gabungan pelbagai formasi penerbangan yang ekstrem sekali gus mempertahankan kualiti persembahan aerobatik bertaraf antarabangsa,” memetik kenyataan pada Facebook.
Sebelum ini Jupiter yang ditubuhkan pada 1996 telah mempamerkan aksi pada Pertunjukan Udara Singapura dan Indo Defence di Indonesia.
Kehadiran pasukan ini juga membuktikan sokongan negara jiran terhadap penganjuran LIMA dan pada masa sama ingin mempamerkan kecekapan angkatan udara Indonesia.
Ini merupakan penyertaan kali kelima berturut-turut pasukan tersebut sejak edisi 2015 sekali lagi menggegarkan ruang udara Langkawi.



Penyertaan Jupiter menyaksikan 3 pasukan aerobatik luar negara mengesahkan kehadiran pada LIMA 2025 setakat iaitu Suryakiran dari India dan Russian Knights.
Kedua-duanya juga pernah hadir pada edisi LIMA terdahulu.
Edisi ke-17 LIMA akan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi.
LIMA 2025 akan menonjolkan tujuh segmen utama iaitu aeroangkasa, maritim, pertahanan, komersial, inovasi, kelestarian alam dan pendidikan. - DagangNews.com
standard


