
Pasukan Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan di Asia Pacific Motorsport Championship 2025 yang berlangsung di Sri Lanka apabila membawa pulang dua pingat podium dalam acara E-Sports Cup, selain prestasi cemerlang di pelbagai disiplin sukan permotoran.
Dalam kategori Assetto Corsa, jaguh sim racing negara, Naquib Azlan (24), mempertahankan pingat Emas yang dimenanginya sebelum ini, sekali gus mengekalkan status sebagai salah seorang pelumba maya terbaik di rantau ini. Kemenangan ini menandakan kejuaraan berturut-turut selepas kejayaan di tanah air pada tahun 2023.
Adiknya, Nabil Azlan (23), turut menyerlah apabila meraih pingat Perak dalam kategori iRacing, menambah koleksi antarabangsa selepas kejayaan ke separuh akhir dunia di FIA Motorsport Games serta gelaran E-Motorsports Competitor of the Year oleh MAM.
Turut mewarnai aksi ialah Taj Izrin Aiman (26) yang mara ke peringkat akhir dan menamatkan saingan di kedudukan ke-5 selepas menjuarai separuh akhir, manakala Leona Chin (39) atau lebih dikenali sebagai Drift Queen negara, turut menyerlah apabila mara ke separuh akhir kategori Assetto Corsa – bukti peningkatan penyertaan wanita dalam sim racing kompetitif.
Pasukan ini dibimbing oleh Alex Yoong, pelumba F1 pertama Malaysia yang kini berperanan sebagai Pengurus dan Jurulatih.
“Kami berbangga dengan hasil yang dicapai. Membawa pulang Emas dan Perak adalah bukti kerja keras atlet dan pertumbuhan sim racing di Malaysia. Momentum ini akan terus dibina,” ujar Yoong.
Kejayaan pasukan esports ini tidak akan tercapai tanpa sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Esports Integrated melalui Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP), Motorsports Association of Malaysia (MAM) dan Axle Sports.
Selain itu, atlet Malaysia turut menyerlah dalam kategori lain. Zarief Rayqal meraih pingat Gangsa dalam Senior Karting Sprint, manakala gandingan keluarga, Sophia Zara menyumbang Perak dalam Junior Karting Slalom dan bapanya, Shafiq Samsudin, menambah satu lagi Gangsa dalam acara Autocross.
Kejohanan ini berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 dengan penyertaan lebih 200 pelumba dari 25 negara, merangkumi disiplin karting, autocross, gymkhana dan esports – menjadikannya platform penting untuk pembangunan bakat muda, keterangkuman dan aksesibiliti dalam dunia permotoran rantau Asia Pasifik.




The post Pasukan Esports Malaysia Cemerlang di Asia Pacific Motorsport Championship 2025 dengan Pingat Emas dan Perak appeared first on TW Media.


